LHDN tetapkan tempoh maksimum 10 tahun bagi kelulusan layanan cukai IOT | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

LHDN tetapkan tempoh maksimum 10 tahun bagi kelulusan layanan cukai IOT

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 2 DisLembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menetapkan tempoh maksimum kelulusan layanan cukai bagi Institusi, Organisasi dan Tabung (IOT) di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) kepada 10 tahun, berkuat kuasa mulai 27 November 2025.

 

LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan, antara manfaat utama kelulusan IOT termasuk tolakan cukai ke atas derma atau sumbangan sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat individu atau syarikat, serta pengecualian cukai ke atas semua pendapatan yang diterima IOT sepanjang tempoh kelulusan berkuat kuasa.

 

Menurut LHDN, bagi IOT yang kelulusannya dijangka tamat pada 31 Disember 2025, pihaknya akan mengeluarkan surat pemakluman baharu bagi menjelaskan pemakaian tempoh kelulusan 10 tahun yang baharu.

 

“Bagi IOT yang telah menerima kelulusan baharu atau lanjutan sebelum 27 November 2025, tempoh yang tertera pada kelulusan tersebut kekal terpakai. Tempoh 10 tahun hanya akan dipertimbangkan selepas kelulusan sedia ada tamat,” katanya.

 

LHDN turut menegaskan semakan pematuhan syarat kelulusan akan dibuat secara menyeluruh sepanjang tempoh kelulusan, termasuk mengambil kira keperluan penyimpanan dokumen seperti yang diperuntukkan di bawah ACP 1967.

 

“IOT wajib memastikan pematuhan penuh terhadap semua syarat kelulusan kerana sebarang pelanggaran boleh menyebabkan kelulusan ditarik balik, dan pendapatan IOT akan dikenakan cukai di bawah subsubperenggan 13(1)(a) Jadual 6, ACP 1967,” jelasnya. - DagangNews.com