KUALA LUMPUR 20 Ogos – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memulangkan cukai terlebih bayar berjumlah RM9.35 bilion kepada lebih tiga juta pembayar cukai setakat 30 Jun 2025, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
Katanya, daripada jumlah tersebut, seramai 1.07 juta pembayar cukai telah pun menerima bayaran balik secara sepenuhnya dengan melibatkan jumlah keseluruhan RM2.73 bilion yang sudah selesai disalurkan.
MOF memaklumkan bahawa bayaran balik cukai korporat, yang lazimnya melibatkan amaun lebih besar, diutamakan mengikut tempoh kelewatan, dengan kes tertunggak lebih lama diselesaikan terlebih dahulu.
“Ini bagi memastikan semua pembayar cukai yang layak akan menerima sekurang-kurangnya bayaran balik sebahagian masih dalam tahun semasa," katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.
Kementerian itu menjawab soalan Chong Chieng Jen (Pakatan Harapan–Stampin) yang meminta penjelasan mengenai jumlah tunggakan bayaran balik cukai, punca kelewatan, serta masa penyelesaian dirancang.
Mengulas lanjut, MOF berkata, baki lebihan tersebut akan dibayar balik LHDN sama ada dalam tahun yang sama atau pada tahun berikutnya, bergantung kepada situasi kedudukan kewangan kerajaan ketika itu.
Dalam perkembangan berkaitan, ia menjelaskan pelaksanaan cukai jualan ke atas barangan nilai rendah (LVG) yang bermula 1 Januari 2024, tidak termasuk dalam semakan semula sistem cukai jualan semasa.
Tambahnya, cukai LVG ini hanya dikenakan ke atas semua barangan yang diimport dari luar negara dengan bernilai kurang daripada RM500, dan dijual secara dalam talian melalui penjual berdaftar.
Berhubung kesan perluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) terhadap kos sara hidup serta beban operasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), MOF menegaskan cukai LVG tidak terlibat.
"Cukai ini tidak terpakai kepada barangan yang dihasilkan secara tempatan, serta hanya dikenakan ke atas barangan yang diimport dan dijual melalui platform e-dagang berdaftar,” kata MOF lagi.
Ia menjawab pertanyaan daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin (Perikatan Nasional–Pagoh) mengenai impak pelaksanaan cukai itu sama ada menjejaskan usahawan PMKS tempatan dalam jangka masa panjang.
Langkah tersebut dijangka dapat memastikan persaingan yang lebih adil kepada pengeluar tempatan, tanpa memberi tekanan tambahan kepada PMKS yang menghasilkan produk dalam negara. - DagangNews.com








