KUALA LUMPUR 28 April - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengesan sebanyak RM3.5 bilion pendapatan yang sebelum ini tidak dilaporkan susulan semakan data e-invois, sekali gus mendorong ribuan pembayar cukai tampil secara sukarela mengemas kini kedudukan percukaian masing-masing.
Dalam kenyataan, LHDN memaklumkan pendekatan pemberian notis peringatan atau “nudge” telah digunakan bagi menggalakkan pembayar cukai mendedahkan pendapatan yang tidak diisytiharkan serta membetulkan kesilapan dalam pemfailan cukai.
Menurutnya, hasil inisiatif tersebut, seramai 38,906 pembayar cukai telah mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan melibatkan jumlah pendapatan diisytiharkan sebanyak RM3.5 bilion, dengan cukai perlu dibayar berjumlah RM760.7 juta.
“Pembayar cukai yang masih belum mengemukakan penyata walaupun telah menerima peringatan mungkin berdepan tindakan lanjut termasuk audit serta langkah penguatkuasaan,” katanya.
Sehubungan itu, LHDN menyeru semua pihak agar mematuhi tanggungjawab percukaian dengan melaporkan pendapatan secara tepat dan membuat bayaran cukai sewajarnya.
Dalam usaha memperkukuh pematuhan terhadap sistem e-invois, LHDN turut melaksanakan Operasi Semakan Pematuhan E-Invois Peringkat Kebangsaan 2026 di seluruh negara dari 20 hingga 24 April lalu.
Sepanjang operasi berkenaan, sebanyak 108 pembayar cukai didapati masih belum melaksanakan e-invois walaupun ia diwajibkan di bawah Fasa 1 dan Fasa 2 pelaksanaan.
Sejak diperkenalkan pada 1 Ogos 2024, sistem e-invois telah diterima pakai oleh 225,604 pembayar cukai dengan sebanyak 1.299 bilion e-invois telah dikeluarkan setakat ini.
LHDN berkata, kadar penggunaan yang memberangsangkan itu mencerminkan sokongan positif terhadap agenda pendigitalan, sekali gus membantu meningkatkan kecekapan operasi perniagaan serta memastikan penyimpanan rekod yang lebih sistematik. - BERNAMA








