KUALA LUMPUR 19 Ogos – LGMS Berhad menjangkakan pemulihan ketara prestasi kewangan separuh kedua 2025, susulan penyambungan projek-projek tertangguh sejak Julai 2025, menurut Malacca Securities.
Firma tersebut berkata, peneraju keselamatan siber bebas di Malaysia itu memberi alasan, kebanyakan pelanggan sebelum ini menunda projek susulan ketidaktentuan dasar dan tarif Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun tambahnya, aktiviti penilaian semula pelaksanaan projek berkenaan telah bermula dan syarikat itu optimis prestasi akan meningkat semula menjelang suku ketiga dan keempat tahun ini.
Bagi suku kedua FY25, LGMS mencatatkan untung bersih teras sebanyak RM2.0 juta, menurun 44.8% tahun ke tahun (YoY), manakala bagi tempoh 1H25, keuntungan berjumlah RM4.0 juta, menyusut 35.2% YoY.
"Kemerosotan ini disebabkan perbelanjaan faedah pekerja meningkat 32% suku ke suku (QoQ) kepada RM5.4 juta kerana perluasan pekerja dan inisiatif pengekalan bakat," kata Malacca Securities dalam notanya.
Pelaburan itu namun dianggap strategik dalam usaha menyediakan asas kukuh bagi pertumbuhan jangka panjang syarikat, terutama dengan pelbagai inisiatif dan pengembangan perniagaan yang berlangsung.
Antara pemangkin utama kepada pertumbuhan masa depan LGMS termasuk pengambilalihan Antarex menjelang akhir Ogos 2025, yang bakal memperluaskan akses kepada pelanggan sektor telekomunikasi dan penyedia internet.
Selain itu anak syarikatnya, ASI, yang kini menjadi penyedia pertama Perkhidmatan Keselamatan Terurus (MSS) di Malaysia dengan lesen Agensi Insurans Am (GIA), membolehkan LGMS menceburi rantaian nilai insurans siber.
"Pelancaran produk StarSentry, yang kini telah dijual sebagai perkhidmatan menerusi kerjasama dengan BDO Malaysia dan CelcomDigi, antara usaha menyasarkan pelanggan korporat dan perusahaan," katanya.
Malacca Securities menambah, syarikat itu juga telah dilantik sebagai responden insiden siber oleh rangkaian firma guaman yang bekerjasama dengan agensi insurans siber, sekali gus mengukuhkan kedudukan LGMS dalam ekosistem tindak balas pelanggaran data.
LGMS kini menjadi satu-satunya syarikat serantau yang tersenarai dalam Gartner Market Guide for Digital Forensics and Incident Response (DFIR), menjadikan syarikat ini setara dengan penyedia perkhidmatan siber global.
Pada masa sama, LGMS turut memenangi Anugerah Digital Pikom bagi kategori Penasihat Keselamatan Siber Terbaik, menambah lagi pengiktirafan terhadap kepakaran dan sumbangan syarikat dalam bidang keselamatan digital.
"Berdasarkan perkembangan itu, kami menetapkan saranan 'beli' dan harga sasaran sesaham LGMS kini pada 93 sen, dengan menilai unjuran perolehan FY26 sebanyak 2.65 sen dan nisbah 35.0 kali ganda," kata Malacca Securities.
Situasi itu katanya, disebabkan kedudukan LGMS sebagai pakar keselamatan siber neutral produk dengan pengiktirafan antarabangsa serta potensi pertumbuhan hasil melalui pengambilalihan Antarex dan penyertaan dalam sektor insurans siber.
Firma penyelidikan tersebut juga menilai faktor perluasan pasaran StarSentry menerusi kerjasama strategik seperti BDO dan CelcomDigi yang akan menjana LGMS dalam jangka panjang.
Secara kesimpulan katanya, walaupun LGMS menghadapi tekanan margin dalam jangka pendek akibat pelaburan tenaga kerja, syarikat berada pada landasan kukuh untuk membina pertumbuhan jangka panjang.
Prestasi itu tambah Malacca Securities, mampu diraih melalui strategi peluasan produk, pelanggan dan sektor baharu.
"Prestasi 2H25 dijangka menjadi titik pemulihan penting untuk memperkukuhkan lagi kedudukan LGMS sebagai pemimpin keselamatan siber serantau," katanya. - DagangNews.com








