KUALA LUMPUR 9 Jan – LGMS Berhad meneruskan cadangan pengambilalihan kira-kira 27% kepentingan dalam Antarex Holdings Sdn Bhd (AHSB) dengan nilai pembelian kekal sebanyak RM22.68 juta.
Syarikat penyedia perkhidmatan keselamatan siber tersebut dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia mengesahkan sudah memeterai perjanjian jual beli saham tambahan (SSA) pada 8 Januari 2026.
Langkah berkenaan kata kumpulan itu, susulan pengunduran Tan Soon Huat sebagai pemegang saham AHSB, menjadikan hanya Tan Pek Loon yang satu-satunya penjual saham dalam urus niaga tersebut.
"LGMS akan memperoleh sebanyak 3.09 juta saham biasa AHSB, mewakili 27% ekuiti, manakala struktur dan jumlah balasan pembelian tidak mengalami perubahan berbanding perjanjian asal," jelasnya.
Bagi melindungi kepentingan syarikat, LGMS akan mengekalkan RM6.62 juta daripada jumlah harga pembelian sebagai jaminan keuntungan bagi tempoh tiga tahun kewangan sehingga 30 Jun 2028.
Jumlah tersebut tambah kumpulan tersebut, akan digunakan bagi menampung sebarang kekurangan keuntungan selepas cukai (PAT) sekiranya sasaran ditetapkan dalam perancangan tidak dicapai.
Ia menggariskan sasaran keuntungan melibatkan PAT sebanyak RM7 juta, RM8.5 juta, dan RM9 juta masing-masing FY26, FY27 dan FY28 dengan jumlah dividen diagih mengikut setiap tahun kewangan.
"LGMS memaklumkan bahawa semua syarat terdahulu dalam perjanjian SSA asal kekal berkuat kuasa, kecuali penghapusan mekanisme pemegang amanah," jelasnya lagi dalam makluman tersebut.
Sebaliknya, ia bakal digantikan dengan kaedah pengekalan sebahagian harga pembelian oleh LGMS, dan perjanjian berkenaan dijangka berubah menjadi tanpa syarat menjelang pertengahan Januari 2026.
AHSB yang beribu pejabat di Setapak, Kuala Lumpur, ditubuhkan pada 2023 dengan terlibat dalam perkhidmatan rumusan teknologi maklumat dan keselamatan siber. - DagangNews.com








