LFE dapat kontrak lebih RM35 juta bagi kerja-kerja utiliti di Klang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

LFE dapat kontrak lebih RM35 juta bagi kerja-kerja utiliti di Klang

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 9 April — LFE Corporation Berhad menerusi anak syarikatnya, LFE Engineering Sdn Bhd menerima kontrak yang berjumlah RM35.25 juta untuk pembangunan kerja utiliti di Klang, Selangor daripada Petaling Garden Sdn Bhd.
 

Syarikat tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, surat penganugerahan tender berkenaan yang bertarikh 2 April 2025 telah diperoleh pada 8 April 2025 dengan ia dilantik sebagai kontraktor projek selama lapan bulan bermula 11 April 2025.
 

Kerja-kerja kontrak terbabit melibatkan tapak cadangan pembangunan bercampur di atas Lot Asal 51164 (Geran 203871), Lot Asal 51167 (Geran 203872) dan Lot Asal 51170 (Geran 203874) di Jalan Haji Abdul Manan, Mukim Kapar, dalam Daerah Klang.


LFE Engineering kata syarikat tersebut, akan bertanggungjawab dalam pembekalan, penghantaran, pemasangan, pengujian dan pentauliahan lampu jalan, perkhidmatan telefon luar serta kerja-kerja salur Tenaga Nasional Berhad (TNB).


Syarikat berkenaan tidak menjangkakan sebarang risiko material yang timbul daripada kontrak selain daripada risiko operasi biasa berkaitan dengan kontrak dengan ia akan mengambil langkah sewajarnya untuk meminimumkan perkara tersebut.


"Kontrak ini turut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham Kumpulan LFE untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 tertakluk sehingga tamatnya kontrak," kata syarikat tersebut.


Selain itu, LFE memaklumkan bahawa tiada pengarah, pemegang saham utama atau orang yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, secara langsung atau tidak langsung, dalam kontrak diterima tersebut.


Kontrak yang dimeterai ini juga katanya, hanya dalam urusan biasa perniagaan LFE dan tidak memerlukan kelulusan pemegang saham syarikat atau daripada mana-mana pihak berkuasa kawal selia. - DagangNews.com