KUALA LUMPUR 28 Mac - Lembaga Zakat Selangor (LZS) melantik Mohd Khaidzir Shahari sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharunya, berkuat kuasa 7 April 2025.
Beliau dilantik menggantikan Mohd Sabirin Mohd Sarbini yang tamat penggal tiga tahun sebagai penyandang jawatan itu pada 31 Mac 2025.
LZS berharap pelantikan Mohd Khaidzir dapat memantapkan pengurusan dan proses kerjanya, serta menambah baik tadbir urus korporat agar terus berdaya saing.
"Beliau diharapkan dapat memberi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat di seluruh Selangor khususnya golongan asnaf,” katanya dalam satu kenyatan.
Mohd Khaidzir mempunyai lebih 25 tahun pengalaman dalam tadbir urus korporat, kewangan, pengurusan risiko, pematuhan, kawalan dalaman dan pengauditan.
Beliau sebelum ini merupakan rakan kongsi dan pengarah eksekutif di KPMG Malaysia, selain menerajui Tadbir Urus, Risiko dan Pematuhan di KPMG Management & Risk Consulting Sdn Bhd.
Mohd Khaidzir juga memainkan peranan penting dalam penilaian kawalan dalaman, audit risiko dan penstrukturan tadbir urus korporat serta menyediakan khidmat nasihat dan pengauditan pelbagai entiti.
Ini termasuk syarikat antarabangsa, syarikat tersenarai awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), institusi kewangan dan agensi antarabangsa.
Lulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu merupakan akauntan bertauliah dari Institut Akauntan Malaysia (MIA).
Beliau juga ahli bertauliah kepada Institut Akauntan Pengurusan Bertauliah (CIMA), Akauntan Pengurusan Global Bertauliah (CGMA) dan Juruaudit Dalaman Bertauliah (CIA).
Selain menjadi ahli Jawatankuasa Kewangan Islam Malaysia, Mohd Khaidzir merupakan Presiden Institut Juruaudit Dalaman Malaysia. - DagangNews.com








