KUALA LUMPUR 22 April — Leform Berhad menjalin kerjasama strategik dengan Nippon Steel Trading Corporation dan anak syarikatnya, NST Trading Malaysia Sdn Bhd melalui memorandum persefahaman (MoU).
Menurut makluman kumpulan berkenaan kepada Bursa Malaysia, pemeteraian itu dalam usaha menangani ketidaktentuan rantaian bekalan global dan meningkatkan daya saing industri keluli tempatan.
Tambahnya, MoU berkenaan turut bertujuan memperkukuh rantaian bekalan serta memaksimumkan sinergi antara ketiga-tiga pihak dalam aktiviti perniagaan masing-masing yang masih belum diteroka luas.
Pengarah Urusan Leform, Law Kok Thye berkata, perjanjian itu menyediakan rangka kerja formal untuk hubungan operasi, serta membuka peluang pertumbuhan dan pembangunan perniagaan jangka panjang.
“Kerjasama ini turut membolehkan kami memanfaatkan kepakaran global dan rangkaian luas Nippon Steel Trading untuk meningkatkan keupayaan operasi serta mencipta nilai mampan sendiri,” katanya.
Langkah itu ujarnya, mengukuhkan momentum syarikat selepas penempatan persendirian melibatkan NST Trading Malaysia, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap hala tuju strategik kumpulan.
Lembaga pengarah Leform berpandangan MoU yang dimeterai itu akan memberi banyak manfaat bersama kepada semua pihak serta menyokong pertumbuhan dan prestasi jangka panjang syarikat tersebut.
Usaha ini juga dijangka memperkukuh kedudukannya dalam industri produk keluli, khususnya segmen paip keluli dan keluli rata yang digunakan meluas dalam sektor pembinaan, pembuatan dan industri.
"Pihak pengurusan Leform memaklumkan sebarang perkembangan lanjut berkaitan kerjasama tersebut akan diumumkan dari semasa ke semasa," katanya. - DagangNews.com








