Ledakan pusat data terus memacu pertumbuhan sektor utiliti, HLIB kekal penarafan 'overweight' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ledakan pusat data terus memacu pertumbuhan sektor utiliti, HLIB kekal penarafan 'overweight'

Gambar hiasan dari Freepik
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 9 Jan — Perkembangan pesat pembangunan pusat data (DC) terus menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan sektor utiliti di Malaysia, menurut analisis Hong Leong Investment Bank (HLIB).


Firma penyelidikan tersebut berkata, prospek pendapatan syarikat berkaitan dijangka kekal kukuh sehingga akhir 2026, dan ia turut mengekalkan penarafan 'overweight' ke atas sektor berkenaan.


Situasi ini jelasnya, disokong permintaan tenaga sejajar dengan pelaburan besar-besaran dalam DC, rangka kerja kawal selia yang stabil serta peningkatan perbelanjaan modal syarikat utiliti utama.


"Peraturan Regulated Asset Base (RAB) dan Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) kekal utuh, sekali gus melindungi pendapatan syarikat-syarikat utiliti tempatan," kata HLIB dalam notanya hari ini.


Ini termasuk turun naik kos bahan api, kadar pertukaran asing dan inflasi, manakala harga komoditi bahan api global meskipun menurun, kesannya neutral susulan mekanisme pelarasan kos yang berkesan.


Tambah firma itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) berada pada kedudukan terbaik untuk memanfaatkan ledakan DC, setelah menyiapkan infrastruktur bagi 11 projek dengan kapasiti 1.9GW setakat 9M25.


Prospek jangka sederhana dan panjang diraih syarikat berkenaan kata HLIB, turut adalah terjamin kukuh setelah menandatangani pelbagai perjanjian bekalan tenaga (ESA) yang berjumlah 7.1GW.


"Sementara itu, permintaan elektrik dan air dijangka terus meningkat seiring sasaran kerajaan untuk menjadikan Malaysia hab DC terbesar di rantau ASEAN menjelang 2040," jelas firma tersebut.


Selain itu, bagi YTL Power International Berhad (YTLP), pendapatan dijangka disokong sumbangan kukuh Wessex Water di Britain, manakala Ranhill Utilities Berhad masih teguh beroperasi di Johor.


Ia dibantu pelaksanaan secara berterusan banyak projek DC dan tenaga boleh diperbaharui, namun. penilaian saham YTLP juga kata HLIB, kekal menarik berbanding rakan industri dan indeks utama.


PETRONAS Gas Berhad (PGB) pula, dijangka mengekalkan hasil yang mampan di bawah kitaran kawal selia RAB baharu bermula 2026, walaupun berdepan tekanan kos penyelenggaraan dalam jangka pendek.


"Sehubungan itu, kami masih mengekalkan saranan 'beli' ke atas TNB dengan harga sasaran (TP) RM17.25 dan YTLP pada RM5.08, serta 'pegang' bagi PGB dengan TP RM17.86," kata firma berkenaan.


Secara keseluruhan, HLIB menegaskan yang sektor utiliti tempatan adalah kekal menarik dari segi kestabilan pendapatan dan kelestarian dividen sepanjang tahun ini. - DagangNews.com