Lebihan akaun semasa Malaysia pada 2025 diramal terus sederhana kepada 1.4%, kata Kenanga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lebihan akaun semasa Malaysia pada 2025 diramal terus sederhana kepada 1.4%, kata Kenanga

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Ogos – Kenanga Research menyemak semula unjuran lebihan akaun semasa (CA) Malaysia bagi tahun 2025 kepada 1.4% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).


Menurut firma penyelidikan itu, ia rendah sedikit berbanding unjuran awal sebanyak 1.9%, susulan penyusutan ketara yang dicatatkan pada tempoh suku kedua tahun kewangan 2025 (2Q25).


Tambahnya, lebihan CA didapati merosot drastik kepada RM300 juta, iaitu hanya 0.1% daripada KDNK, meskipun defisit dalam akaun perkhidmatan dan pendapatan primer mencatatkan penurunan.


"Lebihan ini hampir lenyap kerana penyusutan mendadak lebihan barangan serta defisit pendapatan sekunder yang melebar, mengatasi penurunan defisit pendapatan primer dan jurang perkhidmatan lebih kecil,” jelas Kenanga Research dalam notanya.


Mengulas lanjut, lebihan barangan hanya mencatat RM17 bilion, iaitu terendah dalam tempoh 23 tahun, yang dipengaruhi oleh faktor kelemahan eksport berkaitan perlombongan serta lonjakan import modal.


Eksport negara ini pula menyusut 0.6% suku ke suku (QoQ), manakala import meningkat 8.1%, namun nilai ringgit yang kukuh memberi kesan terhadap hasil eksport, walaupun permintaan produk elektrik dan elektronik (E&E) kekal teguh.


Kenanga Research menambah, defisit dalam pendapatan sekunder meningkat hampir empat kali ganda kepada sebanyak RM4.6 bilion, didorong oleh peningkatan kiriman wang keluar dan penyusutan kiriman masuk.


"Sebaliknya, defisit pendapatan primer pula didapati menurun kepada RM8.9 bilion, iaitu paling rendah dalam tempoh lapan suku, disokong oleh dua faktor utama yang dikenal pasti," kata firma berkenaan.


Perkara berkenaan katanya, meliputi pendapatan pelaburan Malaysia di luar negara yang lebih tinggi, dan penghantaran balik keuntungan oleh sebahagian besar firma asing yang didapati lebih rendah.


Dalam akaun perkhidmatan pula tambah Kenanga Research, defisit menurun sedikit kepada RM3.3 bilion, didorong oleh peningkatan resit pelancongan dan lebihan dalam perkhidmatan pembuatan.


Defisit akaun kewangan susut ketara kepada RM2.2 bilion, yang juga merupakan angka terendah dalam tempoh setahun, berbanding RM20.3 bilion pada tempoh 1Q25 dengan dipacu oleh beberapa sebab.


"Antaranya lebihan pelaburan portfolio terbesar sejak 2Q21, mencerminkan lonjakan permintaan asing terhadap bon domestik tetapi aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) susut kepada RM2.2 bilion.


Ia ekoran kelemahan sentimen pelabur luar dan Kenanga Research turut memberi amaran risiko tarif kekal tinggi pada separuh kedua tahun ini, berikutan ketidaktentuan dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS).


Situasi ini katanya, berpotensi menekan pertumbuhan eksport dan mengecilkan lagi lebihan akaun barangan tetapi resit pelancongan yang lebih kukuh dijangka dapat menampan sebahagian tekanan.


Risiko defisit CA akan meningkat jika ringgit terus mengukuh dan tarif dikenakan ke atas produk Malaysia, namun ia menjangkakan eksport kekal bertahan dengan tumpuan produk nilai tambah tinggi.


"Selain itu, kitaran pemulihan teknologi global dan permintaan kukuh terhadap aplikasi kecerdasan buatan (AI) turut menyokong sektor eksport Malaysia yang berorientasikan teknologi," katanya.


Walaupun lebihan CA dijangka kekal sederhana dalam masa terdekat, faktor sokongan jangka sederhana seperti pelaburan portfolio asing, peningkatan pelancongan dan permintaan teknologi global diramal membantu mengekalkan imbangan akaun semasa dalam keadaan positif menjelang 2026. - DagangNews.com