Lebih banyak kontrak parkir awam di Selangor dan Johor berpotensi diperoleh ITMAX — HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lebih banyak kontrak parkir awam di Selangor dan Johor berpotensi diperoleh ITMAX — HLIB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 Ogos — ITMAX System Berhad dijangka muncul sebagai peneraju dalam meraih pelbagai kontrak pengendalian parkir awam di Selangor dan Johor, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB).

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, langkah itu selaras dengan usaha kumpulan berkenaan dalam penyediaan sistem bandar pintar di dua negeri ini yang meningkatkan tahap infrastruktur digital.

 

Tambahnya, kejayaan ITMAX memperoleh kontrak Parkir Pintar Selangor (SIP) kedua, daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), mengukuhkan tendernya selepas Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

 

 

 

 

 

 

"Ini melonjakkan rekod prestasinya di negeri itu dengan dua konsesi selama 10 tahun dipegang melalui anak syarikat miliknya sebanyak 70 peratus, Selmax Sdn Bhd," kata HLIB dalam notanya.

 

Ia mengambil separuh daripada kutipan kompaun tempat letak kereta dan parkir berkongsi dengan dua majlis tersebut serta Rantaian Mesra Sdn Bhd, unit di bawah Menteri Besar Selangor Inc (MBI).

 

Dengan 300,000 parkir kereta yang diwartakan di seluruh Selangor dan desakan berterusan negeri untuk pelaksanaan bandar pintar melalui MBI, firma itu melihat potensi kukuh untuk ITMAX sendiri.

 

Kumpulan perkhidmatan rumusan teknologi tersebut kata HLIB, berpeluang mendapatkan banyak kontrak tambahan terutamanya dengan empat majlis yang sudah menjadi sebahagian daripada rangka kerja SIP.

 

"ITMAX ketika ini menguruskan 100,000 lot tempat letak kereta menerusi kontrak MBSA dan MBSJ, di samping lebih 60,000 petak parkir yang diselianya merentasi tujuh majlis lagi di Johor," katanya.

 

Di negeri itu tambah firma berkenaan, prospeknya dirangsang dengan peralihan Johor ke arah sistem prasarana pintar tunggal, termasuk kamera litar tertutup (CCTV), lampu isyarat dan parkir awam.

 

HLIB berkata, potensi pertumbuhan jangka panjang ITMAX kekal kukuh, didorong oleh penggunaan CCTV yang lebih berterusan di seluruh Malaysia di bawah pelan pendigitalan nasional dan bandar pintar.

 

 

 

 

 

 

Sebagai perbandingan, ITMAX kini menguruskan 10,000 unit CCTV untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, manakala Singapura sudah mempunyai 90,000 unit, dan menyasarkan 200,000 unit menjelang 2030.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' di ITMAX dengan harga sasaran RM5.17 sesaham untuk saham itu, dengan menilai masa depan dalam aplikasi bandar pintar," kata firma tersebut. - DagangNews.com