KUALA LUMPUR 13 Ogos - Lebih 90 pemimpin perniagaan, profesional pasaran modal dan pakar industri menyertai Persidangan IPO edisi Mandarin sulung anjuran Crowe Malaysia PLT, yang membincangkan peluang serta persediaan penting bagi syarikat yang merancang untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.
Persidangan bertemakan “Unlocking the Secrets of a Successful IPO” itu memberi tumpuan kepada keperluan praktikal dalam perjalanan sesebuah syarikat daripada perniagaan persendirian kepada syarikat tersenarai awam.
Crowe Malaysia berkata, persidangan sehari penuh itu direka khusus untuk komuniti perniagaan berbahasa Mandarin, termasuk pengasas, ketua pegawai eksekutif (CEO), ketua pegawai kewangan (CFO), ahli lembaga pengarah, penasihat undang-undang, profesional hubungan pelabur serta pelabur ekuiti swasta.
Menurutnya, peralihan kepada syarikat awam bukan sekadar usaha mendapatkan modal, sebaliknya memerlukan syarikat memperkukuh pelaporan kewangan, tadbir urus, kawalan dalaman dan kesiapsiagaan organisasi bagi memenuhi keperluan pengawal selia serta jangkaan pelabur.
Persidangan itu menampilkan ucaptama oleh Lee Shee Nah, Penolong Naib Presiden Pemasaran IPO Bursa Malaysia, yang berkongsi perkembangan terkini landskap IPO Malaysia serta pertimbangan penting bagi syarikat yang sedang meneroka peluang penyenaraian.
Turut diadakan sesi perbincangan bersama Pengasas dan Pengarah Urusan Oriental Kopi Holdings Bhd, Datuk Calvin Chan, dan Pengarah Urusan MN Holdings Bhd, Dato’ Clement Toh, yang berkongsi pengalaman masing-masing dalam perjalanan menuju penyenaraian awam.
Perkasa Akses Pengetahuan IPO
Rakan Kongsi Audit Crowe Malaysia, Piong Yew Peng, berkata komuniti perniagaan berbahasa Mandarin memainkan peranan penting dalam kejayaan dunia perniagaan negara.
“Melalui edisi Mandarin pertama Persidangan IPO, kami berharap perkara berkaitan IPO serta kepakaran profesional lebih mudah diakses oleh pemimpin perniagaan yang sedang membuat persediaan untuk peringkat pertumbuhan seterusnya.
“Ketika pasaran modal Malaysia terus berkembang, akses yang lebih luas kepada pengetahuan dan panduan dapat membantu lebih banyak perniagaan membuat keputusan dalam proses penyenaraian syarikat mereka,” katanya.
Crowe Malaysia berkata, pihaknya telah menjadi akauntan pelaporan utama bagi IPO di Pasaran Utama, Pasaran ACE dan Pasaran LEAP Bursa Malaysia sejak 2015. - DagangNews.com








