Lebih 250 PKS manfaat seminar peningkatan skala digital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lebih 250 PKS manfaat seminar peningkatan skala digital

Gambar hiasan.
Oleh HAZIQ HAKIMI

 KUALA LUMPUR 3 Nov – Lebih 250 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) daripada pelbagai sektor mendapat manfaat daripada Seminar Peningkatan Skala Digital untuk PKS yang diadakan hari ini di ibu negara.

 


Seminar bertemakan “Tech Up, Scale Up! Elevate Your SME Journey through AI, Digital Transformation and Smart Solutions” itu dianjurkan oleh SME Corp. Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

 


SME Corp. Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata, seminar tersebut bertujuan menggalakkan penerapan teknologi dan amalan digital sebagai strategi utama untuk meningkatkan tahap pendigitalan, kecekapan operasi serta pertumbuhan perniagaan yang mampan.

 


Program berkenaan turut mendapat kerjasama strategik daripada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Federation of Malaysian Manufacturers (FMM) dan Small and Medium Enterprises Association of Malaysia (SAMENTA).

 


Majlis perasmian seminar disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, yang menegaskan komitmen kementerian dalam memperkukuh agenda pendigitalan PKS selaras dengan dasar pembangunan keusahawanan negara.

 


“KUSKOP melalui agensi-agensinya seperti SME Corp. Malaysia akan memastikan elemen pendigitalan dan teknologi diterapkan dalam pelbagai program serta inisiatif sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13). Langkah ini selaras dengan aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 untuk mewujudkan ekosistem pembangunan keusahawanan yang holistik dan komprehensif,” katanya ketika berucap merasmikan majlis tersebut.

 


Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Datuk Nainy berkata, fokus utama agensi itu ketika melangkah ke RMK13 adalah memberi tumpuan bersasar terhadap penskalaan PKS bagi meningkatkan daya cipta, nilai tambah dan keupayaan bersaing di pasaran domestik serta global.

 


“Melangkah ke RMK13, tumpuan kami ialah melahirkan entiti perniagaan tempatan yang berdaya saing, mempunyai inovasi tinggi serta mampu menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

 


Seminar yang turut disertai 20 syarikat penyedia teknologi dan digital itu memberi penekanan terhadap penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), automasi dan pembuatan pintar (smart manufacturing) bagi membantu PKS menyesuaikan diri dengan ekonomi berasaskan inovasi dan teknologi.

 

Menurut SME Corp. Malaysia, seminar ini merupakan siri pertama bagi tahun 2025 yang diadakan di Kuala Lumpur manakala siri kedua dijadual berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 17 November 2025.

 

Inisiatif seumpama ini, katanya, adalah sebahagian daripada usaha berterusan KUSKOP dan SME Corp. 

 

Malaysia untuk mempercepat transformasi digital serta meningkatkan keupayaan PKS, sejajar dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai AI Nation menjelang 2030. - DagangNews.com