KUALA LUMPUR 6 Feb - LBS Bina Group Berhad bersedia melancarkan pelbagai projek hartanah dengan gabungan nilai pembangunan kasar (GDV) RM8 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Lim Hock Seng berkata, langkah itu bertujuan untuk mengukuhkan lagi imej syarikat tersebut sebagai pemain terkemuka dalam industri perumahan di Malaysia.
Ini selaras dengan strategi syarikat itu yang dikenali sebagai 8 x 8, meliputi pelan hala tuju korporat selama tiga tahun meliputi 2025 hingga 2027 dan direka demi meningkatkan kecekapan operasi.
Ia turut meluaskan lagi jangkauan pasaran dan bakal menyepadukan teknologi pembinaan termaju untuk menangani isu potensi permintaan perumahan negara yang semakin berkembang pesat.
Hock Seng menambah, strategi berpandangan jauh itu akan mengukuhkan kedudukan LBS sebagai peneraju pasaran dan meletakkan asas kukuh pertumbuhan mampan pada tahun-tahun akan datang.
Strategi ini ujarnya, memberi tumpuan kepada lapan bidang utama iaitu pembangunan kediaman, perindustrian dan komersial; pengoptimuman bank tanah; mengejar kecemerlangan; pemerkasaan pekerja; pengalaman pelanggan; kemajuan kemampanan; serta kesejahteraan masyarakat.
"Di bawah pelan kemajuan LBS, kami berdedikasi untuk membinakan rumah yang membolehkan rakyat Malaysia merealisasikan impian pemilikan mereka dengan projek-projek ini merangkumi gabungan pelbagai model.
"Ia meliputi jenis kediaman yang bertingkat tinggi serta bertanah di seluruh Lembah Klang selain Pahang, Johor dan Perak,” kata Hock Seng dalam nada optimis.
Walaupun pembangunan hartanah kekal sebagai perniagaan teras, LBS ujar beliau juga sedang meneroka jalan inovatif untuk mengoptimumkan lagi simpanan tanah syarikat itu.
“Sebagai contoh, ladang solar 45 megawatt kami di Senawang, Negeri Sembilan, akan beroperasi menjelang akhir 2025. Sebaik beroperasi, ia bukan sahaja menyokong matlamat tenaga mampan, tetapi menjana pendapatan berulang bagi kumpulan ini," katanya.
Hock Seng berucap demikian pada majlis makan tengah hari bersempena sambutan Tahun Baharu Cina LBS di sini semalam yang turut dihadiri Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir ialah Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Digital, Gobind Singh Deo; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, dan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Lebih 1,000 tetamu menghadiri program berkenaan termasuk para pemegang saham dan rakan kongsi perniagaan dengan mereka juga dihiburkan beberapa persembahan tradisional.
Dalam ucapan alu-aluannya, Hock Seng menekankan mengenai pengalaman hubungan kukuh dan sudah terjalin lama antara LBS dengan Sultan Pahang sendiri.
"Selama bertahun-tahun, LBS menubuhkan asas yang kukuh dalam menyampaikan projek perumahan berkualiti tinggi. Rekod prestasi dan kredibiliti kami tercermin dalam pelbagai anugerah yang telah kami terima.
"Hari ini, semasa kami berkumpul untuk meraikan majlis perayaan ini, kami juga melihat ke hadapan dengan penuh harapan. Strategi 8 x 8 adalah pelan hala tuju kami untuk memastikan LBS berkembang.
“Kami mahu menjadi salah satu peneraju dalam industri perumahan sambil mengekalkan komitmen kami untuk menyampaikan penyelesaian perumahan yang berkualiti tinggi dan mudah diakses," katanya.
Beliau mengakhiri ucapannya dengan melahirkan perasaan terima kasih yang mendalam kepada seluruh pasukan LBS atas sokongan dan dedikasi berterusan mereka terhadap kejayaan syarikat. - DagangNews.com








