KUALA LUMPUR 10 Julai - Pesawat-pesawat tempur dua negara, Malaysia dan Thailand diuji berdepan ancaman dalam simulasi konflik semasa latihan udara, Eksesais Air Thamal 33/2025 (Eks Air Thamal).
Eks Air Thamal merupakan latihan bilateral udara terbesar antara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF).
Edisi kali ini berlangsung selama 10 hari sejak 1 Julai lalu di Wing 1, Pangkalan Udara Korat, Thailand.
Aset-aset yang terlibat ialah Sukhoi SU-30MKM dan F/A-18D Hornet TUDM bergandingan dengan JAS-39 Gripen, F-16 dan F-5TH milik RTAF.


Ia menonjolkan keupayaan udara kedua-dua negara dalam aspek operasi bersama dan kesiapsiagaan tempur.
Latihan ini memberi tumpuan kepada mengukuhkan penyelarasan taktikal dan meningkatkan hubungan dua hala di peringkat operasi dan taktikal.
Penglibatan pegawai-pegawai kanan kedua-dua tentera udara juga meningkatkan keupayaan bersama, kefahaman operasi dan saling boleh kendali.
Suasana latihan yang intensif di Korat turut memperlihatkan kecekapan dan kesediaan kedua-dua angkatan udara dalam melaksanakan pelbagai misi taktikal.



Menerusi persefahaman yang dibentuk ini menjadi lambang kerjasama strategik yang berterusan dan kepercayaan yang terjalin sejak sekian lama antara dua negara jiran.
Eks Air Thamal diperkenalkan pada tahun 1980 sebagai salah satu latihan udara dua hala antara TUDM dan RTAF.
Latihan ini lazimnya diadakan setiap tahun secara bergilir-gilir antara Malaysia dan Thailand.
Ia merangkumi latihan udara sebenar (FLX - Flying Exercise) dan juga latihan perancangan (CPX - Command Post Exercise).



Pada edisi lalu, Eks Air Thamal 30/2022 diadakan di Pangkalan TUDM Subang secara latihan CPX.
Latihan CPX ini memberi fokus kepada proses perancangan udara dan pemahaman terhadap prosedur operasi udara bersama.
Melalui eksesais seperti ini, hubungan pertahanan udara antara Malaysia dan Thailand terus diperkukuh, keupayaan tempur digilap dan keselamatan serantau lebih terjamin. - DagangNews.com







