KUALA LUMPUR 8 Mei – Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa kecewa terhadap Kerajaan Pusat yang tidak meluluskan permohonan negeri untuk menambah hasil seperti eksport pasir sungai.
Baginda juga menzahirkan kebimbangan terhadap pelaksanaan undang-undang Persekutuan yang disifatkan tidak memihak kepada hak negeri itu, termasuk dalam aspek hasil bumi, pelaksanaan projek dan bidang kuasa tertentu yang melibatkan kepentingan negeri.
Baginda bertitah, Pahang adalah antara empat negeri yang terawal membentuk Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan hasil ketika itu disatukan serta disalurkan kembali mengikut kesesuaian keempat-empat buah negeri.
“Negeri-Negeri Bersekutu inilah juga yang menjadi asas kepada pembentukan Malaysia. Saya berharap kerajaan pusat turut memberikan keutamaan kepada Pahang kerana pengorbanan besar untuk mengekalkan keluasan hutan yang luas, alam flora dan fauna serta gunung-ganang yang menjadi tunjang kestabilan ekosistem, kawasan tadahan hujan dan biodiversiti di Semenanjung Malaysia.
“Pengorbanan negeri Pahang ini tidak boleh sama sekali diukur dengan nilai sumbangan cukai kepada Persekutuan tetapi cukup signifikan dari segi keseimbangan alam sekitar, khususnya di Semenanjung Malaysia.
“Kerajaan pusat seharusnya tidak menafikan pengorbanan negeri Pahang ini dan lebih mengutamakan negeri Pahang yang merupakan negeri yang terbesar di Semenanjung Malaysia.
“Saya begitu kecewa apabila kerajaan pusat tidak meluluskan usaha negeri Pahang untuk menambahkan hasil negeri seperti eksport pasir sungai memandangkan negeri Pahang memiliki sungai yang terpanjang di Semenanjung Malaysia yang sudah tentu banyak mendapan pasir yang perlu dikeluarkan agar kelancaran pengaliran air sungai berlaku seterusnya mengelakkan banjir,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini.

Sebelum ini, Pahang dapat menambah hasil negeri berpuluh-puluh juta dengan eksport pasir ke negara lain tetapi malangnya, kerajaan pusat tidak lagi membenarkannya ketika ini sedangkan hasil tanah dan pasir ini merupakan hak negeri.
Baginda juga mahu kerajaan pusat memberikan kuasa dan ruang yang lebih kepada kerajaan negeri apabila melaksanakan satu-satu projek.
“Utamakan syarikat-syarikat atau kontraktor yang berasal dari negeri Pahang. Saya mahu peluang seperti ini diberikan kepada anak-anak negeri Pahang untuk melaksanakan projek-projek.
“Memang benar pelantikan kontraktor G7 boleh dibuat kepada mana-mana dari seluruh Malaysia. Tetapi, saya mahu keutamaan itu diberikan kepada syarikat dari negeri Pahang yang sememangnya diakui berkelayakan dan kompeten,” titah Baginda.
Selain itu, Baginda juga mahu kerajaan pusat meneliti semula semua perkara itu dan mengembalikan semula hak yang sepatutnya kepada negeri Pahang.
“Janganlah satu hari nanti, negeri Pahang mengambil tindakan terhadap kerajaan Persekutuan. Saya mohon Yang Berhormat Penasihat Undang-Undang Negeri untuk kaji dengan teliti apa tindakan yang boleh kita ambil ke atas kerajaan Persekutuan untuk perkara ini.
“Saya juga ingin tekankan bahawa negeri Pahang merupakan negeri yang berdaulat yang tidak perlu campur tangan daripada negeri lain dalam apa jua urusan perundangan.
“Sebarang salah laku yang berlaku di negeri Pahang perlu diadili di mahkamah secara adil dan saksama. Tidak perlu campur tangan daripada mana-mana pihak untuk menegakkan perkara yang tidak betul,” tegas Baginda. - DagangNews.com








