Langkah UOA Development jual aset bernilai RM200 juta kukuhkan tunai syarikat, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Langkah UOA Development jual aset bernilai RM200 juta kukuhkan tunai syarikat, kata penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 OktUOA Development Berhad membuat kejutan dengan menjual aset komersialnya, UOA Business Park kepada UOA Real Estate Investment Trust melalui tiga perjanjian bersyarat.


Menurut MBSB Research, pelupusan dengan nilai keseluruhan RM200 juta itu dilakukan oleh anak syarikat 60% dimilikinya, Everrise Project Sdn Bhd, dan akan siap pada suku keempat tahun kewangan 2025.


Firma penyelidikan itu menambah, UOA Business Park yang terletak berdekatan Subang Jaya, Selangor meliputi dua menara pejabat 13 tingkat dengan jumlah keluasan boleh disewa 15,387 meter persegi.


"Kami difahamkan nilai tunai Menara 2A ialah RM55.7 juta, diikuti Menara 2B sebanyak RM54.8 juta, manakala ruang parkir mengandungi 3,101 petak pula RM89.5 juta," kata firma itu dalam notanya.


MBSB Research menyifatkan transaksi ini sebagai positif sederhana kerana membuka nilai aset lama yang disiapkan sejak 2016 dan menjana keuntungan bersih sekitar RM35.8 juta atau 1.3 sen sesaham.


Selain itu, ia berpandangan yang langkah pelupusan aset berkenaan dapat menyokong pembiayaan projek pembangunan baharu bersebelahan UOA Business Park dan modal kerja kepada UOA Development.


Kumpulan tersebut juga tambah firma berkenaan, dijangka mengukuhkan kedudukan kewangan bersih syarikat untuk kekal teguh kerana hasil penjualan sebahagian besar diterima dalam bentuk tunai.


"Walaupun transaksi ini beri untung luar biasa untuk FY25, kehilangan pendapatan sewaan tahunan sebanyak RM12.7 juta dijangka mengurangkan pendapatan FY26 sekitar 2%," kata MBSB Research lagi.


Bagaimanapun, firma penyelidikan tersebut masih mengekalkan unjuran pendapatan UOA Development buat masa ini sehingga transaksi penjualan berkenaan dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini.


Justeru, ia mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham syarikat hartanah itu dengan harga sasaran RM2.04 sesaham, berdasarkan diskaun 26% diberikan kepada Nilai Aset Bersih Diselaraskan (RNAV).


Di samping itu tambah MBSB Research, kumpulan berkenaan juga menawarkan hasil dividen yang menarik sebanyak 5.4%, sejajar dengan kedudukan tunai bersihnya juga dinilai sebagai masih lagi kukuh.


“Penjualan ini selaras strategi pengewangan aset matang bagi membiayai pertumbuhan baharu. Kedudukan kewangan terus berdaya tarikan kepada pelabur jangka panjang,” katanya. - DagangNews.com