Langkah UMediC segera ganti mesin lama dijangka tingkatkan 50% produktiviti, kata Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Langkah UMediC segera ganti mesin lama dijangka tingkatkan 50% produktiviti, kata Phillip Capital

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 16 Dis — UMediC Group Berhad berada pada landasan pertumbuhan kukuh susulan pentauliahan mesin Aseptic Blow-Fill-Seal (BFS) baharu dijangka meningkatkan 50% produktiviti syarikat.


Menurut Phillip Capital, mesin bersepadu tersebut selesai diuji dan ditauliahkan pada 8 Disember 2025, bagi menambah kecekapan operasi kilangnya serta menyokong rancangan perluasan pasaran antarabangsa.


Firma penyelidikan berkenaan menambah, mesin BFS tersebut menggantikan dua mesin lama dengan turut menggabungkan proses pembentukan botol, pengisian dan pengedapan dalam satu sistem automatik.


"Langkah ini dijangka mengurangkan masa pembuatan sehingga 50%, sekali gus meningkatkan lagi tahap produktiviti dan kecekapan operasi UMediC sendiri," kata firma berkenaan dalam notanya hari ini.


Jelas Phillip Capital, langkah seterusnya ialah proses kelayakan semula bilik bersih ISO 5/Class 100 sebelum pengeluaran secara besar-besaran dapat dimulakan, yang disasarkan pada suku pertama 2026.


Dari sudut kawal selia, pihak pengurusan kumpulan itu memaklumkan yang permohonan kelulusan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) dimulakan kira-kira enam bulan lalu.


UMediC menyasarkan kelulusan pada 2026, dan ini dijangka membuka laluan terus ke pasaran Amerika Syarikat (AS) dan rantau Amerika Latin, serta menyokong pertumbuhan antarabangsa jangka panjang.


"Dalam segmen pengedaran, ia mencapai penukaran 100% daripada pesaing utama, Medtronic, di Island Hospital sejak Julai 2025, dan ini menyokonga aliran pendapatan berulang," kata Phillip Capital


Selain itu jelasnya, UMediC sebelum ini bersaing secara produk demi produk, terutamanya dari segi harga, namun peralihan kepada strategi rumusan menyeluruh memudahkan proses perolehan hospital.


Usaha itu meliputi pembekalan keseluruhan jabatan seperti merangkumi katil, monitor dan pam infusi yang meningkatkan kadar kejayaan kontrak, khususnya hospital swasta menitikberatkan kecekapan kos.


Sehubungan itu, Phillip Capital optimis terhadap usaha aktif kumpulan tersebut yang bercadang untuk terus mengembangkan portfolio peranti perubatannya bagi menyokong pertumbuhan secara mampan.


"Kami mengekalkan saranan 'beli' ke atas UMediC dan harga sasaran 12 bulan tidak berubah 51 sen, berdasarkan penilaian 17 kali nisbah harga kepada pendapatan (PE) ke atas unjuran saham FY27.


Firma itu terus positif terhadap syarikat tersebut berikutan prospek pertumbuhan segmen pembuatan yang disokong oleh penggandaan kapasiti dan permintaan global, selain saluran produk baharu.


Bagaimanapun, Phillip Capital turut memberi amaran risiko penurunan termasuk kemungkinan kelembapan permintaan peralatan perubatan serta gangguan operasi tidak dijangka. - DagangNews.com