KUALA LUMPUR 8 Julai - Langkah OSK Holdings Bhd menyertai segmen pembiayaan motosikal membuka peluang pertumbuhan baharu selain membantu mempelbagaikan aliran pendapatannya merentasi pelbagai segmen pelanggan.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, kumpulan itu bagaimanapun tidak terlibat dengan segmen itu dari peringkat awal dan pengambilalihan Wilayah Credit membolehkannya berkembang lebih pantas kerana syarikat itu mempunyai rangkaian pengedar yang kukuh serta kepakaran operasi.
Katanya, pengambilalihan itu juga disertakan dengan pangkalan data pelanggan bernilai serta pandangan terhadap tingkah laku kredit, yang boleh dimanfaatkan OSK dalam keseluruhan ekosistem pembiayaannya.
“Dengan pasukan OSK yang kukuh dan keupayaan mendapatkan pembiayaan yang kompetitif, terdapat potensi untuk mereka mengembangkan portfolio pinjaman dengan lebih berkesan selepas pengambilalihan itu,” katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, OSK telah bersetuju mengambil alih Wilayah Credit berharga RM16.5 juta, iaitu kira-kira RM300,000 lebih tinggi daripada aset bersihnya sebanyak RM16.2 juta.
ARTIKEL BERKAITAN: OSK sertai perniagaan pembiayaan motosikal menerusi pengambilalihan Wilayah Credit berharga RM16.5 juta
Ia diterjemahkan kepada premium kira-kira 7.7% selepas mengambil kira pelupusan lot kedai.
HLIB berkata, premium tersebut adalah wajar memandangkan nilai sebenar pengambilalihan ini melangkaui aset fizikal.
Ia merangkumi kelebihan seperti pangkalan data pelanggan yang kukuh, hubungan jangka panjang dengan pengedar, serta kehadiran pasaran yang kukuh.
“Walaupun pengambilalihan ini berskala sederhana, ia mencerminkan pendekatan proaktif OSK dalam mengurus dan mempelbagaikan risikonya,” katanya.
HLIB mengekalkan saranan "beli" ke atas OSK dan mengekalkan harga sasaran (TP) tidak berubah RM2.00 sesaham.
Firma penyelidikan itu turut menekankan prospek pertumbuhan OSK yang menarik, dipacu perkembangan pesat segmen kredit persendirian, yang mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) lima tahun sebanyak 24.8% dan kini menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan keseluruhan kumpulan. - DagangNews.com








