OSK sertai perniagaan pembiayaan motosikal menerusi pengambilalihan Wilayah Credit berharga RM16.5 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

OSK sertai perniagaan pembiayaan motosikal menerusi pengambilalihan Wilayah Credit berharga RM16.5 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Julai - OSK Holdings Bhd mengambil alih 10 juta saham mewakili keseluruhan pegangan dalam Wilayah Credit Sdn Bhd daripada Platinum Moment Sdn Bhd pada harga RM16.5 juta.

 

OSK berkata, Wilayah Credit terlibat dalam perniagaan penyediaan pembiayaan melalui sewa beli.

 

"Pengambilalihan ini membolehkan perniagaan pembiayaan pengguna kumpulan berkembang ke dalam pembiayaan motosikal, selaras dengan strategi OSK untuk mempelbagaikan penawaran produk pembiayaan pengguna.

 

"Ia dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi kumpulan,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

OSK berkata, pengambilalihan ini tidak dijangka memberi kesan ketara kepada pendapatan dan aset bersih sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

 

“Namun begitu, pengambilalihan ini juga berpotensi menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan pada masa hadapan," katanya.

 

Pengambilalihan itu bagaimanapun tidak memerlukan kelulusan pemegang saham OSK atau mana-mana pihak berkuasa kawal selia.

 

Tertakluk kepada sebarang keadaan yang tidak dijangka, pengambilalihan itu dijangka selesai pada suku ketiga tahun 2025. - DagangNews.com