KUALA LUMPUR 11 Jun — Keputusan kerajaan India baru-baru ini untuk mengurangkan duti import bagi minyak sawit, berkemungkinan besar mampu meningkatkan eksport minyak sawit Malaysia pada Mei 2025, menurut CIMB Securities.
Firma penyelidikan tersebut berkata, langkah diumumkan pihak berkuasa negara rantau Asia Selatan itu turut disebabkan masalah serius kekurangan bekalan minyak makan yang pada ketika ini didapati adalah cukup rendah di seluruh India.
Selain itu tambahnya, pembetulan harga minyak sawit mentah (MSM) baru-baru ini turut telah membantu syarikat-syarikat perladangan tempatan untuk meningkatkan daya saing harga komoditi tersebut berbanding minyak kacang soya.
“Minyak sawit kini didagangkan pada harga diskaun AS$128 (kira-kira RM542.86) setiap tan dan dengan India memotong separuh duti import, ia menurunkan duti berkesan ke atas minyak sawit kepada 16.5 peratus," katanya dalam satu nota.
CIMB Securities berkata, harga kompetitif itu selepas dikenakan duti 10 peratus berkuat kuasa 30 Mei 2025, dan isu stok domestik rendah semasa di India, dijangka membawa kepada peningkatan pembelian minyak sawit di pasaran India.
Di samping itu, firma tersebut menjangkakan eksport minyak sawit Indonesia akan disambung semula susulan langkah kerajaan negara berkenaan menaikkan levi eksport minyak sawit mentah kepada 10 peratus, berkuat kuasa 17 Mei 2025.
Perubahan tersebut katanya, dilakukan republik berkenaan untuk meningkatkan semula hasil bagi membiayai program biodieselnya dan memberi subsidi kepada usaha penanaman semula ke atas pokok kelapa sawit tua yang kurang tuaian.
"Kami mengunjurkan harga MSM kekal dalam lingkungan RM3,700 hingga RM4,100 setiap tan pada Jun 2025, memandangkan peningkatan eksport dan secara purata, kami jangka RM4,200 untuk 2025 tidak berubah," katanya.
Sementara itu, CIMB Securities berkata, stok minyak sawit Malaysia dijangka meningkat satu peratus bulan ke bulan (MoM) kepada dua juta tan pada bulan tersebut, setelah bertambah tujuh peratus MoM kepada 1.99 juta tan pada Mei 2025.
Ia masih di bawah anggaran firma itu tetapi sejajar dengan anggaran konsensus dan pengeluaran MSM diunjur tidak berubah berikutan hari bekerja yang sedikit, manakala eksport diramal meningkat sebanyak lapan peratus MoM kepada 1.5 juta tan.
Secara keseluruhan, ia mengekalkan saranan 'neutral' pada sektor komoditi sawit, kerana menjangka harga MSM kekal dalam julat dengan pilihan utama ialah saham IOI Corp Berhad disebabkan pendedahan rendah kepada risiko kawal selia Indonesia.
"Penilaian ke atas syarikat ini agak menarik didorong kesan positif ringgit yang lebih kukuh terhadap obligasi hutang dolar Amerika Syarikat namun bagi pelabur yang mencari hasil dividen, pilihan kami ialah Hap Seng Plantations Berhad," katanya.
CIMB Securities menambah, syarikat tersebut bersesuaian untuk pelabur yang mahu meneroka pendedahan kepada pemain minyak sawit bermodal kecil, kerana asetnya adalah kurang nilai. - DagangNews.com








