KUALA LUMPUR 5 Dis – Langkah Al-`Aqar Healthcare REIT menjual sebuah bangunan enam tingkat serta aras bawah tanah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang adalah sebahagian strategi kitar semula modal.
Menurut MBSB Research, hartanah berkenaan ketika ini digunakan sebagai KPJ Healthcare College Penang dan dilupuskan kepada Icon Square Sdn Bhd dengan harga pertimbangan tunai sebanyak RM12 juta.
Usaha ini jelas firma penyelidikan tersebut dijangka selesai pada separuh pertama 2026, dan hasil penjualan aset itu boleh menyalurkan balik dana kepada usaha pelaburan yang memberi pulangan lebih tinggi.
"Bagaimanapun, kami menilai pelupusan ini sedikit lemah kerana harga jualan adalah rendah daripada nilai pasaran semasa RM13 juta serta kos pelaburan asal RM14.17 juta," tambahnya dalam satu nota kajian.
Situasi itu kata MBSB Research, mengakibatkan kerugian kira-kira RM2.35 juta, namun pendapatan daripada pelupusan hartanah akan digunakan untuk pelaburan baharu yang menawarkan kenaikan hasil semula.
Jelasnya, jika tiada pelaburan baharu diperoleh dalam tempoh 12 bulan, hasil jualan itu digunakan untuk mengurangkan pinjaman bank, dengan nisbah hutang Al-`Aqar dijangka kekal iaitu 0.41 kali.
Firma penyelidikan berkenaan menambah, impak terhadap pendapatan dijangka adalah kecil kerana kehilangan pendapatan sewaan aset sebenarnya lebih besar berbanding penjimatan kos pembiayaan.
"Dengan pendapatan hartanah bersih (NPI) RM0.97 juta pada FY24, pelupusan dijangka mengurangkan hasil syarikat sekitar RM350,000, kurang daripada 1% unjuran keuntungan FY26 dan FY27," katanya.
Sehubungan itu jelas MBSB Research, tiada semakan yang dibuat ke atas unjuran pendapatan Al-'Aqar dari FY25 hingga FY27 dengan ia mengekalkan saranan 'neutral' terhadap saham kumpulan tersebut.
Sementara harga sasaran pula tidak berubah kepada RM1.26, berdasarkan Model Diskaun Dividen (DDM), dan firma itu menjangkakan sumbangan pendapatan daripada aset penjagaan kesihatan kekal stabil.
Meskipun begitu katanya, prospek keuntungan secara keseluruhan dijangka mendatar dengan syarikat REIT patuh Syariah itu menawarkan anggaran hasil pengagihan sekitar 5%. - DagangNews.com








