KUALA LUMPUR 15 Dis – AGX Group Berhad mencadangkan penerbitan bonus sehingga 108.22 juta waran pada nisbah satu waran bagi setiap empat sahamnya yang sedia ada, menurut Mercury Securities.
Firma penyelidikan tersebut berkata, usaha terbaharu berkenaan dilihat sebagai langkah mesra pemegang saham bagi mengukuhkan asas modal kumpulan itu dalam jangka sederhana hingga panjang.
Bagaimanapun jelasnya, cadangan bonus waran itu tertakluk kepada kelulusan Bursa Malaysia, selain para pemegang saham pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) serta pihak berkuasa berkaitan lain.
“Walaupun pelaksanaan penuh waran itu akan menyebabkan pencairan pendapatan sesaham (EPS), impak segera terhadap pendapatan setakat ini adalah minimum,” kata Mercury Securities dalam notanya.
Bonus waran itu ujarnya, diterbitkan tanpa kos, boleh ditebus dalam tempoh lima tahun, dan setiap waran membolehkan pemegang melanggan saham baharu pada harga akan ditetapkan lembaga pengarah.
Pada masa yang sama, firma berkenaan menilai langkah penerbitan tersebut disasarkan pada premium 10% hingga 30% berbanding purata harga wajaran volum (VWAP) untuk AGX sendiri selama lima hari.
Berdasarkan harga pelaksanaan ilustrasi 52 sen, syarikat logistik itu berpotensi mengumpul RM56.3 juta sekiranya semua waran ditebus, dengan dana tersebut digunakan terutamanya bagi modal kerja.
Ini jelas Mercury Securities termasuk kos pekerja serta perbelanjaan operasi, manakala dari segi kunci kira-kira pula, penebusan penuh waran dijangka mengukuhkan kedudukan kewangan kumpulan.
"Kami menilai positif dengan ekuiti pemegang saham meningkat daripada RM89.5 juta kepada RM145.6 juta, sementara nisbah gear bertambah baik daripada 0.10 kali kepada 0.06 kali," kata firma itu.
Ia namun menjangka jika semua waran ditebus, jumlah saham terbitan naik 25% kepada 541.08 juta saham, menyebabkan EPS teras FY26 berkurang 14% kepada 3.18 sen berbanding 3.97 sen sebelum ini.
Sejajar dengan itu, Mercury Securities menyemak harga sasaran (TP) AGX dicairkan kepada 43 sen, tetapi selagi cadangan tersebut belum dimuktamadkan, TP syarikat itu masih dikekalkan 53 sen.
Selain itu, firma berkenaan mengekalkan saranan 'beli' dengan menilai kumpulan tersebut diniagakan pada premium sekitar 30%, berbanding purata sektor pengangkutan dan logistik sebanyak 10 kali.
"Penilaian kami wajar mengambil kira model perniagaan aset ringan, aliran pendapatan yang pelbagai serta margin untung bersih yang lebih tinggi sekitar 6% berbanding rakan industri," katanya lagi.
Dari segi prospek, Mercury Securities tetap kekal berhati-hati, tetapi optimistik terhadap potensi AGX, disokong oleh operasi yang kukuh di rantau Asia Pasifik dan model perniagaan berskala.
Ia namun memberi amaran risiko termasuk perubahan peraturan, kelembapan permintaan perkhidmatan pengangkutan laut dan udara, serta turun naik kadar penghantaran. - DagangNews.com








