Laluan pejalan kaki berbumbung dibina Avaland antara Avenue25 dan stesen LRT USJ21 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Laluan pejalan kaki berbumbung dibina Avaland antara Avenue25 dan stesen LRT USJ21

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 16 Jun — Avaland Berhad melaksanakan pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 300 meter dan jambatan penghubung dari pembangunan bercampur Avenue25 ke stesen transit aliran ringan (LRT) USJ21.


Ia merupakan sebahagian daripada pelaburan kumpulan pemaju itu bernilai RM100 juta melibatkan usaha menaik taraf infrastruktur jalan raya di sekitar kawasan ini yang akan berhubung dengan tiga lebuh raya utama Lembah Klang.


Ketua Pegawai Operasi Avaland, Aw Sei Cheh berkata, acara pecah tanah itu berlangsung di tapak projek pada 13 Jun 2025 yang turut disaksikan Exco Pelaburan dan Mobiliti Selangor yang juga merupakan ADUN Kinrara, Ng Sze Han.


“Usaha ini menandakan permulaan visi kami untuk menyepadukan kediaman, peruncitan dan rangkaian jalan raya yang bersambung sepenuhnya untuk memupuk komuniti boleh berjalan kaki dan bersepadu,” kata beliau dalam kenyataan.


Laluan pejalan kaki tersebut dibina bertujuan untuk meningkatkan ketersambungan antara Avenue25 dan stesen pengangkutan awam yang terletak dalam jarak 10 minit pemanduan dari daerah pusat perniagaan Subang Jaya.


Avenue25 seluas 5.3 hektar menggabungkan elemen kediaman, runcit serta yang hijau bersambung dengan Lebuh Raya KESAS Shah Alam, Lebuh Raya Damansara-Puchong dan Lebuh Raya Utara-Selatan Central Link (Elite).


Avaland melaporkan keuntungan bersih tertinggi pada 2024, dengan jualan hartanah meningkat 53% kepada RM894.2 juta, dan merancang untuk melancarkan projek bernilai RM1.3 bilion dalam nilai pembangunan kasar (GDV) tahun ini.


Empat projek utama dijangka siap sepanjang 2025 yang menyediakan secara keseluruhan sebanyak 2,169 unit kediaman dengan gabungan nilai pembangunan kasar mencecah RM1.7 bilion. - DagangNews.com