KUALA LUMPUR 27 Nov – Lagenda Properties Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM44.7 juta bagi Q3FY25, disokong oleh momentum jualan kukuh di lima negeri serta perkembangan pesat projek utama.
Ini jelas kumpulan hartanah itu termasuk antaranya La’ Lumière di Kulai, Johor dan La’ Indera di Kuantan, Pahang, dengan ia sudah berjaya memperoleh jumlah jualan disahkan mencapai RM542.9 juta.
Nilai berkenaan meningkat 56 peratus berbanding hanya RM349 juta pada suku sama tahun lepas, dan menjadikan ia sebagai rekod jualan suku tahunan yang paling tinggi diraih oleh kumpulan tersebut.
"Sementara itu, jumlah jualan bagi tempoh sembilan bulan tahun ini pula meningkat 39 peratus kepada RM1.21 bilion, serta mengatasi keseluruhan jualan FY24," kata Lagenda Properties dalam kenyataan.
Dalam pada itu, jualan belum dibil tambahnya lagi, turut mencatat rekod tertinggi iaitu mencecah kira-kira RM1.33 bilion, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan kukuh ke atas kumpulan.
Jelasnya, hasil pada 3QFY25 direkodkan pada RM254.9 juta, meningkat 4 peratus daripada segmen pembangunan hartanah berikutan kemajuan pembinaan di tiga projek diuruskan syarikat berkenaan.
Ia meliputi Lagenda Aman (Tapah, Perak), Lagenda Ardea 1A (Ulu Bernam, Selangor) dan Puncak Warisan (Kota Tinggi, Johor), sambil kumpulan berkenaan mengekalkan margin untung kasar iaitu 38 peratus.
"Bagaimanapun hasil keseluruhan menurun 10 peratus berbanding RM283.4 juta pada tempoh sama tahun lalu disebabkan pengurangan hasil daripada segmen perdagangan dan projek pembinaan luar," katanya.
Bagi tempoh sembilan bulan yang berakhir 30 September 2025 (9MFY25), Lagenda Properties mencatat hasil RM758.2 juta, sedikit meningkat berbanding sebanyak RM754.9 juta pada tempoh sama 2024.
Pengarah Urusannya, Datuk Jimmy Doh berkata, pasaran hartanah mampu milik kekal kondusif dengan pertumbuhan ekonomi kukuh dan sokongan polisi seperti pengecualian penuh duti setem rumah pertama.
Jualan yang disahkan setakat ini kata beliau, sudah berjaya mencapai sebanyak RM1.21 bilion yang turut membuktikan kumpulan berada di landasan tepat untuk meraih sasaran RM1.50 bilion tahun ini.
“Kami akan mengembangkan bank tanah di koridor pertumbuhan utama dan meningkatkan kecekapan operasi bagi memacu ketelusan hasil dengan jumlah jualan belum dibil tertinggi RM1.33 bilion," katanya.
Beliau menambah, ia menyediakan asas kukuh pertumbuhan berterusan, yang membolehkan kumpulan menyampaikan prestasi berdaya tahan dan nilai jangka panjang untuk pemegang saham. - DagangNews.com








