KUALA LUMPUR 14 Nov – LAC Med Berhad melancarkan prospektus tawaran awam permulaan (IPO) kumpulan tersebut menjelang penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 10 Disember 2025.
Menurut penyedia peranti dan rumusan perubatan bersepadu itu, terbitan berkenaan dijangka meraih RM55.6 juta, serta bakal mengukuh kedudukannya dalam negara dan meluaskan operasi ke Indonesia.
Daripada jumlah dana tersebut katanya, RM8 juta diperuntukkan bagi melancarkan dua segmen baharu iaitu Equipment-as-a-Service (EaaS) dan Medical Device Asset Management Services (MEAMS).
"Ia membantu kami mengoptimumkan operasi dan menambah asas pendapatan berulang syarikat, dengan RM12 juta disalurkan untuk penubuhan ibu pejabat baharu," kata LAC Med dalam kenyataan hari ini.
Premis itu merangkumi kemudahan stor diperluas serta ruang pameran produk, manakala RM8 juta lagi dikhususkan bagi pengembangan di Indonesia yang menawarkan permintaan kukuh peranti perubatan.
Baki daripada perolehan IPO berkenaan jelas syarikat tersebut, akan digunakan pula bagi urusan pembayaran pinjaman, segala modal kerja serta menampung perbelanjaan penyenaraian di bursa itu.
Ketua Pegawai Eksekutif LAC Med, Liew Yoon Poh berkata, syarikat kini memiliki portfolio 11 jenama antarabangsa dan menyokong sektor kesihatan Malaysia dengan lebih 2,500 unit peralatan terpasang.
"Kami juga ada 300 pelanggan aktif dan IPO ini memperkukuh keupayaan menawarkan peranti perubatan serta rumusan bersepadu berasaskan kecerdasan buatan (AI), selain meneroka Indonesia," katanya.
IPO itu melibatkan 104.2 juta saham pada harga 75 sen sesaham, terdiri 74.2 juta saham baharu dan 30 juta saham jualan sedia ada, dengan modal pro forma berjumlah RM300 juta selepas penyenaraian.
Syarikat berkenaan yang ditubuhkan sejak 2003 kata Yoon Poh, turut menetapkan dasar dividen bagi agihan kepada pemegang saham sekurang-kurangnya 30% daripada keuntungan bersih tahunan teraudit.
Permohonan saham IPO ditutup pada 25 November 2025, dengan RHB Investment Bank bertindak sebagai penasihat utama, ejen penempatan tunggal serta penaja jamin bersama. - DagangNews.com








