KUALA LUMPUR 4 Jun — Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikatakan sedang bersedia menjual portfolio hospital swasta di United Kingdom (UK) yang dianggarkan bernilai £1.4 bilion (kira-kira RM8.06 bilion).
Dana persaraan tersebut telah pun melantik firma broker, Knight Frank untuk menawarkan sejumlah 12 hartanah berkenaan untuk dijual, menurut individu yang dipetik mengetahui mengenai proses penjualan itu.
Hospital-hospital tersebut dibeli oleh konsortium yang diketuai oleh KWSP dengan harga kira-kira £700 juta pada 2013 (dengan nilai ketika ini RM4.02 bilion), dan dikendalikan Spire Healthcare Group PLC.
Individu berkenaan yang enggan identitinya ddedahkan berkata, proses itu dilaksanakan secara persendirian, namun wakil daripada KWSP dan Knight Frank enggan mengulas apa-apa berhubung laporan tersebut.
Hartanah penjagaan kesihatan di Britain menyaksikan kekurangan minat pada tahun ini apabila ramai pelabur dilapor berusaha mencari aset alternatif dengan pajakan yang berkaitan indeks jangka panjang.
Antaranya KKR & Co bersaing dengan Primary Health Properties PLC untuk membeli Assura PLC, yang kebanyakannya memiliki portfolio hospital swasta dibelinya dengan harga £500 juta (RM2.87 bilion) pada 2024.
Terbaharu, Aedifica SA semalam bersetuju membeli saingannya, Cofinimmo dalam perjanjian yang mewujudkan amanah pelaburan hartanah (REIT) penjagaan kesihatan dengan nilai aset kasar lebih €12 bilion (RM58.09 bilion).
Sistem penjagaan kesihatan swasta di UK telah berkembang pesat apabila Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) negara itu bergelut untuk menurunkan senarai menunggu yang meningkat ketika wabak Covid-19.
Seramai 4.7 juta individu di negara itu mempunyai insurans kesihatan swasta melalui majikan mereka pada 2023, menurut data yang dikumpulkan oleh Persatuan Penanggung Insurans British tahun lepas.
NHS juga menggunakan hospital swasta bagi melakukan prosedur pembedahan dengan penyedia penjagaan kesihatan kerajaan itu membelanjakan £2.1 bilion ((RM12.07 bilion) di fasiliti tersebut pada 2024, menurut laporan LaingBuisson.
Tambahnya, agensi awam berkenaan turut terpaksa membelanjakan sejumlah £1.5 bilion (RM8.62 bilion) lagi untuk pelbagai rawatan di klinik-klinik swasta yang dipilih di seluruh negara itu sepanjang tahun lepas.
Kerajaan Britaian awal tahun ini mengumumkan NHS akan menggunakan penjagaan kesihatan swasta untuk temujanji tambahan, imbasan dan pembedahan bagi mengurangkan giliran menunggu. - DagangNews.com








