KUALA LUMPUR 1 Mac — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan kesyukuran atas pencapaian terbaik kadar dividen diumumkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini yang turut mencerminkan keyakinan pelabur terhadap dasar Kerajaan Madani.
Menerusi hantaran dalam akaun sosial Facebook rasminya hari ini, beliau turut gembira apabila pencarum dana Simpanan Shariah mencipta rekod menerima kadar dividen sama dengan mereka yang kekal dengan tabungan Simpanan Konvensional iaitu 6.30 peratus.
"Alhamdulillah, KWSP telah mengumumkan kadar dividen yang gemilang, dengan jumlah agihan tertinggi dalam sejarah, yakni RM73.24 bilion. Malah, Simpanan Shariah melakar sejarah dengan julung kali mencapai kadar setara dengan Simpanan Konvensional," nukil beliau.
Hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn dalam Taklimat Prestasi Kewangan KWSP 2024 mengumumkan kadar dividen tahun lalu yang lebih tinggi dengan agihan sebanyak RM63.05 bilion untuk dana Konvensional dan RM10.19 bilion pula untuk Shariah.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, KWSP telah mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM74.46 bilion, meningkat 11 peratus berbanding hanya RM66.99 bilion yang direkodkan pada 2023 selepas diambil kira nilai kos ke atas ekuiti tersenarai.
Lihat KWSP umum 6.3% dividen bagi simpanan konvensional dan syariah untuk 2024

Mengulas lebih lanjut, Anwar menyatakan bahawa prestasi KWSP yang memberangsangkan itu dipacu kepesatan mekar pasaran modal Malaysia di tengah 'tantangan' ekonomi global yang penuh pelbagai cabaran serta mencerminkan kepercayaan pelabur terhadap polisi kerajaan.
"Pencapaian terbaik ini turut menunjukkan keyakinan mereka ke atas dasar Kerajaan MADANI yang mesra pertumbuhan dan pelabur, disokong reformasi fiskal di bawah kerangka Ekonomi MADANI, sekali gus memanfaatkan rakyat Malaysia untuk pertumbuhan sejagat dan lestari," jelasnya.
Anwar seterusnya menegaskan bahawa dengan keyakinan yang semakin meningkat dalam ekonomi negara, pentadbiran beliau akan terus mara dengan penuh iltizam, serta akan memastikan segala manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai oleh seluruh masyarakat.
Pada 23 Februari lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan membayangkan kemungkinan KWSP mampu untuk memberikan pulangan dividen yang lebih baik kepada jutaan pencarumnya berdasarkan faktor prestasi kukuh agensi berkenaan pada suku ketiga 2024.
Tahun lepas, KWSP mengisytiharkan pembayaran kadar dividen yang lebih tinggi untuk 2023 iaitu kira-kira 5.50 peratus bagi Simpanan Konvensional berbanding hanya 5.35 peratus sebelumnya iaitu pada 2022 dengan jumlah agihan mencecah sebanyak RM50.33 bilion.
Bagi Simpanan Shariah pula, agensi tersebut mengumumkan pulangan rendah sedikit iaitu kira-kira 5.40 peratus untuk 2023 berbanding cuma 4.75 peratus yang telah direkodkan pada 2022 dengan jumlah agihan ditetapkan sebanyak RM7.48 bilion. - DagangNews.com








