Kwasa Land, Sunsuria bangunkan 520 unit kediaman di Kwasa Damansara bernilai RM492 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kwasa Land, Sunsuria bangunkan 520 unit kediaman di Kwasa Damansara bernilai RM492 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 17 April — Kwasa Land Sdn Bhd memeterai perkongsian strategik dengan Sunsuria Damansara Sdn Bhd yang sebelum itu dikenali sebagai Consolidated Factoring (M) Sdn Bhd, bagi membangunkan sejumlah 520 unit kediaman baharu di Kwasa Damansara.


Anak syarikat milik penuh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pemaju induk lokasi itu akan memajukan rumah bertanah serta kondominium dalam kawasan seluas 3.9 hektar dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM492 juta.


"Projek perumahan baharu tersebut akan disiapkan secara berperingkat, dengan fasa pertama dijangka dilancarkan kepada pembeli yang berminat pada suku ketiga 2026," kata Kwasa Land dan Sunsuria dalam satu kenyataan bersama hari ini. 


Lokasi berkenaan katanya, terletak secara strategik berhampiran kawasan kejiranan matang seperti Kota Damansara, Tropicana, Subang Bestari dan Sungai Buloh, selain tapak tersebut berdekatan dengan hab runcit, premis makan dan komersial.


Penduduk akan mendapat manfaat sambungan melalui dua stesen MRT dihubungkan ke laluan Kajang dan Putrajaya, serta jalan utama termasuk Lebuhraya Lembah Klang Utara (NKVE), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).


Pada masa sama, Kwasa Land berkeyakinan dan mengalu-alukan kemasukan Sunsuria ke dalam senarai rakan kongsi ternama syarikat hartanah tersebut serta telah memilih untuk bekerjasama membina pembangunan Kwasa Damansara.


Pengarah Urusan Kwasa Land, Datuk Adenan Md Yusof berkata, perkongsian itu menandakan satu lagi kejayaan dalam perjalanan ke arah membina perbandaran baharu yang mampan. 


"Bersama-sama, kami akan mewujudkan ruang yang bukan sahaja mencerminkan pertumbuhan dan inovasi tetapi memupuk penglibatan komuniti serta tanggungjawab alam sekitar. Kami teruja dengan impak positif perkongsian ini," katanya.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sunsuria, Tan Wee Bee berkata, pembangunan Kwasa Damansara akan menawarkan gabungan perumahan teres dan kediaman bertingkat tinggi, direka bentuk untuk menyokong kehidupan berbilang generasi.


Ia menyediakan persekitaran memupuk perkembangan keluarga, interaksi mesra dan berkembang maju bersama sambil menerima kemampanan dan kemudahan moden yang mencerminkan komitmen untuk menyampaikan ruang inovatif dan memberi inspirasi.


Rekod prestasi kami terbukti menerusi pembangunan mercu tanda seperti Bandar Sunsuria, Taman Bukit Bangsar, dan Sunsuria Forum. Kami gembira memulakan perkongsian strategik ini dengan Kwasa Land dan menantikan kerjasama yang berjaya,” katanya.


Kwasa Damansara, merupakan perbandaran moden dinamik dengan menyaksikan pelbagai projek yang akan dibangunkan termasuk rumah berkembar, rumah teres, rumah bandar, kondominium dan rumah mampu milik terletak tidak jauh dari Jalan Sungai Buloh.


Lokasi ini direka menjadi bandar contoh untuk perniagaan, kehidupan dan percutian dengan lebih 101 hektar kawasan hijau di sekeliling yang merangkumi sembilan taman serta dilengkapi laluan berbasikal dan berjalan kaki sejauh 25 kilometer.


Perbandaran tersebut juga bakal dibina 25,000 unit rumah baharu, termasuk 10,000 rumah mampu milik dan sejumlah 15 buah sekolah baharu.


Kwasa Land setakat ini sudah memeterai kerjasama dengan 16 Rakan Pembangunan yang diberikan hak ke atas 316 hektar dalam perbandaran. Ini merupakan 59 peratus daripada 458 hektar tanah boleh dijual dalam Kwasa Damansara, dengan GDV hampir RM40 bilion.


Pembangunan berorientasikan transit ini menawarkan ketersambungan dan kemudahan sebagai cara hidup selain menghubungkan akses kepada dua stesen KTM Komuter. dan hanya empat kilometer dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang. - DagangNews.com