KUALA LUMPUR 24 April – Sarawak Metro Sdn Bhd menerima satu pencapaian penting apabila dianugerahkan spektrum frekuensi persendirian oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi sistem komunikasi Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).
Langkah ini menjadikan Sarawak Metro sebagai organisasi pertama dalam sektor pengangkutan rel dan awam di Malaysia yang memperoleh spektrum khas untuk sistem komunikasi tanpa wayar bagi operasi Transit Rapid Autonomi (ART).
Spektrum yang diberikan adalah berdasarkan sistem Future Railway Mobile Communication System (FRMCS), iaitu teknologi komunikasi generasi baharu yang digunakan dalam sistem pengangkutan rel moden di peringkat global.
Sistem ini direka untuk memastikan komunikasi lebih stabil, pantas dan selamat, selain membolehkan penghantaran data berkapasiti tinggi bagi menyokong operasi pengangkutan awam berteknologi tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro, Ts. Mazli Mustaffa berkata penggunaan teknologi FRMCS akan membantu memastikan sistem ART di Kuching beroperasi dengan lebih cekap serta selaras dengan keperluan masa depan industri pengangkutan.
“Projek KUTS kini berada di landasan tepat untuk melaksanakan sistem komunikasi yang boleh dipercayai, sekali gus menyokong operasi kenderaan ART yang bersifat autonomi dan tanpa pemandu,” katanya dalam satu kenyataan.

Sarawak Metro sebelum ini turut berjaya melaksanakan ujian langsung Sistem Telekomunikasi Radio (RTS) yang berasaskan seni bina FRMCS pada Oktober 2024, sebagai persediaan ke arah pelaksanaan penuh sistem tersebut.
Projek KUTS merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak untuk memodenkan sistem pengangkutan awam di Kuching melalui penggunaan kenderaan ART berasaskan hidrogen yang mesra alam dan sifar pelepasan karbon.
Projek KUTS yang dilaksanakan secara berfasa merangkumi tiga laluan utama di Kuching, iaitu Laluan Biru dari Rembus di Kota Samarahan ke Hikmah Exchange di pusat bandar, Laluan Merah dari Kuching Sentral ke Pending, serta Laluan Hijau dari Pending ke Damai.
Kesemua laluan ini akan menggunakan sistem ART berasaskan tenaga hidrogen yang beroperasi di laluan khas tanpa rel dan tidak berkongsi jalan dengan kenderaan lain, sekali gus menjadikan sistem pengangkutan lebih efisien dan mesra alam.
Sarawak Metro turut menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama rapat dengan MCMC dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan pembangunan ekosistem pengangkutan pintar di Sarawak dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan. - DagangNews.com








