Kumpulan Jetson lupus 100% pegangan dalam GRP bernilai RM14.8 juta kepada Ng Boon Hong | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kumpulan Jetson lupus 100% pegangan dalam GRP bernilai RM14.8 juta kepada Ng Boon Hong

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 13 Jan – Kumpulan Jetson Berhad melupuskan 100% ekuiti dalam anak syarikat tidak langsungnya, GRP Sdn Bhd kepada individu, Ng Boon Hong dengan nilai pertimbangan RM14.8 juta.


Kumpulan tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, perjanjian jual beli saham (SSA) itu dimeterai melalui anak syarikat milik penuhnya, GRP Holdings Sdn Bhd pada 9 Januari 2026.


Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM3 juta akan dijelaskan secara tunai, manakala baki kira-kira RM11.8 juta lagi dapat diselesaikan melalui pengambilalihan hutang syarikat oleh pihak pembeli.


"GRP Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat yang terlibat secara aktif dalam aktiviti pembuatan produk dan penjualan bahan pelekat serta pengedap," kata Kumpulan Jetson menerusi kenyataan berkenaan.


Berdasarkan kepada audit bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Mac 2025, GRP mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM1,526,681 dengan nilai aset bersih berjumlah kira-kira RM14,767,578.


Menurut kumpulan berkenaan lagi, langkah pelupusan subsidiari tersebut diambil bagi membolehkan pihak pengurusan syarikat itu dapat memperkemaskan dan mengoptimumkan portfolio pembuatannya. 


Usaha tersebut tambahnya, merupakan satu lagi langkah ke hadapan dalam membentuk semula syarikat menjadi organisasi yang lebih fokus, bergerak tangkas, dan berdaya tahan dari segi kewangan.


"Kumpulan Jetson menyasarkan untuk menajamkan tumpuan kepada keupayaan terasnya sebagai pengeluar komponen automotif antigetaran tahap satu yang mendapat permintaan di pasaran," katanya.


Hasil bersih penjualan ini akan digunakan untuk tujuan korporat am serta menyokong pertumbuhan perniagaan pembuatan dan inisiatif strategik dalam tempoh 12 bulan selepas penerimaan dana.


Lembaga Pengarah berpendapat pelupusan ini adalah munasabah dan demi kepentingan terbaik syarikat, dengan dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh 90 hari dari tarikh SSA tersebut ditandatangani. 


Langkah itu juga katanya, tidak memberikan kesan material terhadap aset bersih, penggearan, atau pendapatan sesaham (EPS) Kumpulan Jetson bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026. - DagangNews.com