KUALA LUMPUR 6 Nov – Kumpulan Jetson Berhad menerima surat hasrat (LOI) berhubung cadangan pembelian 30 lot industri di Mukim Taboh Naning, Alor Gajah, Melaka yang bernilai RM22.2 juta.
Ia berkata, surat tersebut diterima anak syarikat miliknya dengan pegangan 51%, Magical Era (M) Sdn Bhd, daripada Encore Merger Sdn Bhd yang melibatkan kawasan berkeluasan 68,757 meter persegi.
Menurutnya, harga pembelian tersebut sudah merangkumi pelbagai kerja infrastruktur yang biasa seperti kerja tanah, pembinaan jalan, sistem bekalan air, kumbahan, talian elektrik dan telekomunikasi.
"Encore Merger akan mendepositkan 10% daripada harga belian (RM2.22 juta) kepada Magical Era selepas perjanjian jual beli (SPA) dimeterai," maklum Kumpulan Jetson kepada Bursa Malaysia.
Sementara baki bayaran tersebut jelasnya, hanya akan dilunaskan syarikat beribu pejabat di Puchong, Selangor itu secara progresif mengikut jadual kerja yang dipersetujui kedua-dua pihak.
Bagaimanapun Encore Merger mempunyai tempoh sehingga 15 November 2025 bagi melaksanakan kajian kebolehlaksanaan manakala LOI terbatal pada 30 November 2025 jika SPA tidak ditandatangani.
Syarikat ditubuhkan 29 Mac 2010 itu mempunyai modal berbayar RM1 juta dan dikawal oleh pengarah yang juga pemegang saham tunggal, Ang Choon Hooi dengan aktiviti utamanya ialah pembinaan.
Selain itu, Kumpulan Jetson menjelaskan penerimaan LOI ini tidak memberi kesan material terhadap modal diterbitkan, pegangan pemegang saham utama, mahupun kedudukan kewangan kumpulan tersebut.
"Pada masa sama, kami mengesahkan bahawa tiada mana-mana pengarah atau pemegang saham utama yang mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam urus niaga tersebut," katanya.
Kumpulan berkenaan yang terlibat dalam pelbagai segmen perniagaan termasuk pembuatan, pembangunan hartanah dan pengurusan asrama pelajar, disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia sejak 1994.
Bagaimanapun tambah Kumpulan Jetson yang ditubuhkan pada 1977 itu, sebarang pengumuman lanjut berhubung SPA dimuktamadkan hanya dibuat selepas dimeterai kedua-dua pihak. - DagangNews.com








