KUALA LUMPUR 20 Ogos – Syarikat pemaju hartanah berpangkalan di Sabah, KTI Landmark Berhad memperoleh kontrak pembangunan kompleks kebudayaan negeri tersebut yang bernilai RM107 juta.
Kumpulan itu berkata, anak syarikatnya, KTI Sdn Bhd (KTISB) menandatangani Perjanjian Pembangunan bersama Kerajaan Sabah melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.
Tambahnya, projek terbaharu berkenaan turut lengkap dengan kemudahan dan infrastruktur sokongan di atas tanah kerajaan secara inisiatif pertukaran tanah di Kinarut yang berkeluasan 61.9 hektar.
"Ia dibangunkan atas tanah kerajaan yang sebelum ini dirizabkan di bawah Seksyen 28(1), Ordinan Tanah seperti dan diwartakan dalam Warta No. 58 Tahun 1982," kata KTI dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Tanah itu dibahagikan kepada tiga komponen utama iaitu 23.47 hektar untuk tapak kompleks kebudayaan, 12.14 hektar bagi kegunaan sedia ada kerajaan negeri dan baki 26.3 hektar lagi pembangunan perumahan.
KTISB akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pembinaan dan penyempurnaan kompleks itu, termasuk pembinaan jalan raya, sistem perparitan, bekalan air, loji kumbahan serta kerja-kerja landskap.
Projek itu mengikut pelan yang diluluskan pihak berkuasa dengan nilai tanah yang diberikan kepada KTISB dinilai setara dengan jumlah kos projek oleh juruukur bahan bebas dipersetujui kedua-dua pihak.
"Ketiga-tiga lot tanah perumahan akan diserah milik kepada KTISB atau syarikat lain yang ditentukan oleh KTISB selepas proses pembatalan rizab diselesaikan dan pecahan tanah dilakukan," katanya.
KTISB tambah KTI Landmark, dijangka memulakan kerja-kerja pembinaan dalam tempoh sembilan bulan selepas menerima segala kelulusan pelan bangunan dan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA).
Pembinaan dijangka siap dalam tempoh 36 bulan dari tarikh kerja dimulakan dan perjanjian dimeterai tidak akan memberi kesan kepada struktur modal saham atau pegangan pemegang saham utama syarikat.
Lembaga Pengarah KTI Landmark menjangkakan perjanjian tersebut menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan itu bagi tahun kewangan berakhir 2026 sehingga 2029.
"Bagaimanapun kumpulan mengambil kira risiko berkaitan industri pembinaan dan pembangunan seperti kenaikan kos bahan, kekurangan tenaga kerja serta ketidaktentuan politik dan ekonomi," katanya.
Kesemua cabaran berkenaan termasuk bencana alam setempat katanya, mungkin boleh menjejaskan prestasi kewangan dan risiko ini ditangani menerusi kawalan dalaman yang cekap. - DagangNews.com








