KTC bangunkan taman perindustrian RM150 juta di Sabah, sasar pendapatan RM2 bilion dalam tempoh tiga tahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KTC bangunkan taman perindustrian RM150 juta di Sabah, sasar pendapatan RM2 bilion dalam tempoh tiga tahun

Majlis pecah tanah projek berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Mei – Kim Teck Cheong Consolidated Bhd (KTC) memulakan pelan pembangunan jangka panjang bagi Taman Perindustrian KTC bernilai RM150 juta yang terletak di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Sabah.

 

Projek itu dibangunkan di atas tanah seluas enam hektar yang baru diperoleh syarikat tersebut dan dijangka menjadi asas kepada ekosistem industri bersepadu.

 

Ekosistem berkenaan akan merangkumi aktiviti pembuatan, teknologi, perdagangan serta pengedaran bagi memperkukuh operasi KTC di rantau ini.

 

Menurut KTC, pembangunan ini selari dengan strategi jangka panjang syarikat untuk memperluaskan kehadiran perniagaan di Sabah, Malaysia serta pasaran ASEAN.

 

“Perancangan projek tersebut telah dibincangkan sejak lima tahun lalu bersama pihak kerajaan negeri Sabah. Kami sangat komited bukan sekadar untuk mengembangkan operasi perniagaan, tetapi juga untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.

 

“Antara fokus utama adalah mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan serta membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat di Sabah,” katanya.

 

Majlis pecah tanah projek berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick.

 

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi KTC, Tan Sri Mohd Zuki Ali serta Pengarah Urusan KTC, Datuk Lau Kok Sing.

 

Walaupun projek itu dijangka siap dalam tempoh 18 bulan, KTC telah mula melaksanakan inisiatif pembangunan modal insan di negeri berkenaan.

 

Syarikat itu menyasarkan untuk menyediakan 500 peluang pekerjaan baharu seiring dengan pengembangan operasi logistik dan pengangkutan.

 

Bagi menyokong pertumbuhan tersebut, KTC turut merancang untuk menambah kira-kira 400 kenderaan dan trak dalam rangkaian logistiknya.

 

Dengan perkembangan ini, jumlah tenaga kerja KTC dijangka meningkat kepada hampir 2,300 orang dalam masa terdekat.

 

KTC menjangkakan peningkatan pendapatan tahunan syarikat daripada RM1.3 bilion kepada RM2 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang yang akan didorong oleh pengembangan kapasiti industri serta peningkatan kecekapan operasi logistik dan pengedaran. - DagangNews.com