KUALA LUMPUR 27 Nov – KSL Holdings Berhad mencatat untung bersih RM101.9 juta bagi suku ketiga 2025, disokong hasil naik 4.8% kepada RM354.6 juta berbanding RM338.5 juta pada suku sama 2024.
Peningkatan itu dipacu pelaksanaan projek pembangunan terdahulu serta momentum kukuh bagi jualan hartanah di Johor, dengan merekodkan RM1.14 bilion jualan baharu bagi tempoh 10 bulan pertama 2025.
Kumpulan tersebut meraih 95% sasaran jualan penuh tahun ini di negeri berkenaan, manakala bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025, ia mencatat pendapatan kira-kira RM965.8 juta.
"Untung bersih pula RM267.6 juta dengan sedikit kurang berbanding tempoh sama 2024 ekoran peringkat penyelesaian projek, namun jualan belum dibil mencapai RM1.0 bilion," kata KSL dalam kenyataan.
Pengarah Eksekutifnya, Khoo Lee Feng berkata, perkembangan positif tersebut memberikan keterlihatan pendapatan masa depan yang kukuh kepada prospek pertumbuhan kumpulan pemaju hartanah berkenaan.
Kejayaan mencapai mercu tanda jualan sebanyak RM1 bilion membuktikan misi syarikat menyediakan hartanah berpatutan untuk memenuhi permintaan terutama penduduk Johor yang semakin meningkat.
"Kami menyasarkan pelancaran projek bernilai RM3.6 bilion bagi FY25, meningkat daripada RM2.1 bilion tahun lalu, dan terus menawarkan ruang kediaman berkualiti pada harga kompetitif,” katanya.
Lee Feng menambah, aset pelaburan KSL di Selangor dan Johor terus menyumbang pendapatan berulang yang kukuh, dengan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi.
Momentum tersebut jelas beliau, bukan sahaja memperkukuh prestasi FY25, tetapi juga meletakkan asas kukuh untuk FY26 serta memberikan nilai mampan kepada pemegang saham kumpulan berkenaan sendiri.
Projek utama KSL tambah beliau lagi, termasuk D’Secret Garden 2 @ Kempas dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggar RM652 juta dan Ceros @ Gelang Patah yang mencatatkan GDV kira-kira RM500 juta.
"Segmen pelaburan hartanah pula menyumbang RM65.2 juta bagi 3Q25, disokong kadar sewaan dan penghunian yang sihat, termasuk KSL City Mall, KSL Hotel & Resort di Johor Bahru," katanya. - DagangNews.com








