Krisis industri makin teruk, 48% pengilang kurangkan pengeluaran, 5% sudah berhentikan pekerja – FMM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Krisis industri makin teruk, 48% pengilang kurangkan pengeluaran, 5% sudah berhentikan pekerja – FMM

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Mei – Industri pembuatan Malaysia berdepan tekanan yang semakin serius ekoran krisis Asia Barat yang terus mengganggu rantaian bekalan global apabila 48% daripada 225 syarikat pengilang dilaporkan telah mengurangkan atau menghentikan sebahagian operasi pengeluaran mereka, menurut Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

 

Dalam kenyataan terbaharunya, FMM memaklumkan dapatan kajian kedua menunjukkan keadaan operasi pengilang semakin merosot dengan ketara berbanding kajian pertama yang dikeluarkan pada April 2026.

 

Kajian melibatkan 225 responden itu mendapati 72% syarikat melaporkan keadaan operasi mereka semakin teruk, dengan 22% menyifatkan kemerosotan berlaku secara signifikan.

 

 

 

 

 

FMM menjelaskan gangguan yang pada awalnya hanya melibatkan kos pengangkutan kini telah merebak ke seluruh rantaian nilai termasuk bekalan bahan mentah, pengeluaran, tempahan pelanggan, aliran tunai dan pekerjaan.

 

“Sebanyak 20% responden melaporkan tiada perubahan, manakala hanya 5% mencatat sedikit peningkatan, kebanyakannya syarikat yang berjaya mendapatkan sumber bekalan alternatif.

 

“Dari segi bekalan bahan mentah, 70% responden menyatakan keadaan semakin teruk dengan bahan kritikal seperti resin, polimer, bahan kimia industri, logam, aloi dan bahan pembungkusan semakin sukar diperoleh,” katanya dalam satu kenyataan.

 

FMM berkata tahap inventori semakin kritikal apabila 40% syarikat hanya mempunyai stok satu hingga dua bulan, 29% hanya dua hingga tiga minggu, manakala 6% kurang daripada dua minggu.

 

Walaupun syarikat giat mencari sumber alternatif, proses peralihan masih terhalang oleh isu ketidakpadanan spesifikasi, keperluan kelulusan pelanggan serta tempoh pensijilan yang panjang.

 

Dari segi sumber alternatif, 72% responden bergantung kepada China, manakala 40% meneroka pembekal domestik. India dan Thailand masing-masing menyumbang 16%, namun hanya 13% berjaya mendapatkan pembekal alternatif yang beroperasi sepenuhnya.

 

Dalam masa sama, 18% menyatakan kos alternatif terlalu tinggi untuk dilaksanakan secara komersial, manakala 13% langsung tidak menemui sebarang pilihan alternatif yang sesuai.

 

FMM berkata keadaan ini menunjukkan bahawa kesan krisis sudah mula menjejaskan output sebenar sektor pembuatan negara.

 

“Dalam aspek logistik, 87% responden melaporkan peningkatan kos pengangkutan, dengan separuh daripadanya meningkat antara 20% hingga 50% berbanding sebelum krisis.

 

“Perubahan laluan perkapalan melalui Cape of Good Hope turut menyebabkan masa transit ke Eropah meningkat kepada 35 hingga 45 hari berbanding 25 hingga 30 hari sebelum ini.

 

“Gangguan logistik domestik turut menjadi isu utama apabila masalah kekurangan diesel subsidi menyebabkan kapasiti pengangkutan lori terjejas, khususnya di laluan industri utama seperti Pasir Gudang ke Pelabuhan Tanjung Pelepas,” katanya.

 

Keadaan ini menyebabkan sesetengah pengangkut enggan mengambil perjalanan yang kurang menguntungkan yang menjejaskan pergerakan barangan dari kilang ke pelabuhan.

 

t

 

Dari segi kewangan, 68% responden mengalami tekanan aliran tunai apabila pelanggan menangguhkan pembayaran, manakala pembekal pula menuntut bayaran lebih awal.

 

Keadaan ini diburukkan lagi oleh tempoh penghantaran yang lebih panjang kerana pembayaran lazimnya hanya diterima selepas barang sampai kepada pelanggan.

 

FMM turut melaporkan sebanyak 34% syarikat sedang mengurus tuntutan force majeure yang belum selesai, manakala 10% mengalami kes kargo dipulangkan, ditinggalkan atau dialihkan dengan kerugian besar yang boleh mencecah ratusan ribu hingga lebih AS$1 juta bagi setiap syarikat.

 

“Dalam aspek permintaan, 68% responden mencatat penurunan tempahan pelanggan, dengan 20% menyatakan penurunan yang ketara.

 

“Selain itu, 50% melaporkan permintaan dalam pasaran domestik turut terjejas akibat kenaikan harga yang menekan kuasa beli pengguna.

 

“Lebih membimbangkan, 60% syarikat telah menangguhkan atau membatalkan pelaburan, automasi dan pelan pengembangan yang dijangka memberi kesan jangka panjang terhadap produktiviti industri,” katanya.

 

Dari segi pekerjaan, 28% syarikat telah atau sedang merancang pelarasan tenaga kerja, termasuk pengurangan kerja lebih masa, pembekuan pengambilan pekerja dan dalam beberapa kes pemberhentian pekerja.

 

Sebanyak 40% melaksanakan pengurangan jam kerja, 33% membekukan pengambilan, manakala 5% telah melaksanakan atau mengumumkan pemberhentian kerja.

 

FMM memberi amaran bahawa tekanan ini paling ketara terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai struktur kos lebih terhad dan kebergantungan pelanggan yang lebih sedikit.

 

PKS yang mewakili 35% responden kajian didapati paling terdedah kepada risiko pengurangan operasi atau penghentian sebahagian pengeluaran.

 

Sehubungan itu, FMM menggesa kerajaan mempercepatkan pelaksanaan beberapa langkah termasuk pengecualian duti ke atas bahan mentah alternatif, bantuan kos logistik, subsidi bahan api industri serta penangguhan kenaikan tarif pelabuhan.

 

FMM turut mencadangkan mekanisme sokongan pekerjaan bagi membantu syarikat mengekalkan tenaga kerja sepanjang tempoh krisis.

 

 

 

 

 

 

Menurut FMM, tindakan segera adalah penting bagi mengelakkan kesan jangka panjang terhadap daya saing industri pembuatan negara yang menyumbang 23.4% kepada KDNK Malaysia.

 

FMM menegaskan bahawa tanpa intervensi dasar yang bersasar, tekanan semasa boleh berkembang menjadi krisis struktur yang lebih luas melibatkan pengeluaran, pelaburan dan pekerjaan. - DagangNews.com