KPS Consortium beli 30 unit kilang daripada Nautical Wealth bernilai RM45.5 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KPS Consortium beli 30 unit kilang daripada Nautical Wealth bernilai RM45.5 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Mei – KPS Consortium Berhad menerusi anak syarikatnya, KPS Plywood Sdn Bhd memeterai perjanjian bagi memperoleh beberapa hartanah perindustrian bernilai RM45.5 juta daripada Nautical Wealth.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata harga pembelian RM45.5 juta ditentukan berdasarkan penilaian dalaman kumpulan serta melalui proses bidaan tender bagi memperoleh hartanah berkenaan daripada pihak penjual yang kini berada dalam proses pembubaran.

 

“Penentuan harga turut mengambil kira pengalaman terdahulu anak syarikat kami yang pernah berperanan sebagai pemaju dan pengurus projek bagi pembangunan tersebut sebelum ini yang memberikan kelebihan dari segi pemahaman teknikal dan komersial terhadap aset berkenaan.

 

“Keadaan itu membolehkan kumpulan membuat penilaian lebih tepat serta mengemukakan tawaran yang kompetitif dalam proses tender yang dijalankan,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Hartanah yang diperoleh terdiri daripada 30 unit kilang industri yang merangkumi 16 unit kilang berkembar empat tingkat, 13 unit kilang kos rendah satu tingkat serta satu unit kilang berasingan empat tingkat.

 

Kesemua unit kilang tersebut telah siap dibina dan diserahkan dengan milikan kosong pada 2 November 2019, manakala Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (Form F) di bawah Uniform Building By-Laws 1986 (Selangor) diperoleh pada 26 Disember 2019.

 

Berdasarkan maklumat syarikat, bangunan berkenaan kini berusia kira-kira tujuh tahun dan berada dalam keadaan siap untuk operasi serta sebahagiannya sedang menjana pendapatan sewaan.

 

KPS Consortium menjangkakan pemerolehan ini akan menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan di samping memberikan potensi peningkatan nilai aset jangka panjang melalui aliran pendapatan sewaan sedia ada.

 

Syarikat turut memaklumkan tiada penilaian rasmi dilakukan pada peringkat awal transaksi, namun institusi kewangan telah meminta supaya penilaian bebas dilaksanakan bagi tujuan pembiayaan dan proses pelantikan penilai berdaftar sedang dijalankan.

 

Berdasarkan penyata kewangan audit terakhir bagi tahun berakhir 31 Disember 2019, nilai buku bersih hartanah tersebut yang diklasifikasikan sebagai inventori adalah sebanyak RM43.61 juta. - DagangNews.com