KPMG lancar MyAccess Hub, permudah kemasukan perniagaan asing ke Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KPMG lancar MyAccess Hub, permudah kemasukan perniagaan asing ke Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Okt - KPMG di Malaysia melancarkan KPMG MyAccess Hub, platform kemasukan perniagaan bersepadu yang bertujuan membantu syarikat dan pelabur asing menubuh serta mengembangkan operasi mereka di negara ini.

 

Inisiatif itu sejajar dengan komitmen kerajaan menerusi Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) bagi menarik pelaburan langsung asing (FDI), merangsang pembangunan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan memperkukuh pemindahan teknologi.

 

MyAccess Hub menggabungkan kepakaran pelbagai disiplin KPMG bukan sahaja dalam bidang audit, khidmat cukai dan nasihat, malah turut merangkumi ESG, teknologi dan perundingan risiko. 

 

Melalui rangkaian rakan penyedia perkhidmatan KPMG, platform itu menyediakan sokongan menyeluruh bagi membantu pelanggan mengemudi landskap perniagaan Malaysia dengan lebih yakin dan cekap.

 

Katanya, platform itu direka untuk menyokong perniagaan dalam tiga peringkat utama iaitu nasihat pra penubuhan, kemudahan penubuhan perniagaan dan sokongan perniagaan berterusan. 

 

kpmg
Soh Lian Seng

 

Ketua Cukai KPMG di Malaysia, Soh Lian Seng berkata, pelancaran KPMG MyAccess Hub mencerminkan komitmen syarikat untuk memainkan peranan penting dalam memperkukuh pasaran dan komuniti secara nyata.

 

“Dengan menyediakan rumusan bersepadu bagi mengemudi landskap peraturan yang kompleks, kami menangani cabaran utama yang dihadapi perniagaan asing dan pada masa yang sama menyokong aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai destinasi pelaburan utama. 

 

"Melalui akses tunggal, kami memudahkan urusan perniagaan dan mempercepatkan proses kemasukan pasaran,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Mengulas lanjut, Lian Seng berkata, potensi Malaysia sebagai destinasi pelaburan semakin jelas apabila negara berjaya menarik pelaburan asing bernilai RM60.4 bilion pada suku pertama tahun ini sahaja, mencerminkan keyakinan kukuh pelabur antarabangsa terhadap ekonomi Malaysia.

 

"Melalui KPMG MyAccess Hub, kami ingin membina momentum ini dengan membantu perniagaan merebut peluang dengan lebih berkesan. Kami memastikan organisasi dilengkapi sepenuhnya untuk memberi impak bermakna sambil mematuhi peraturan dan mengoptimumkan insentif yang tersedia," katanya.- DagangNews.com