BNM kenakan penalti RM520,000 terhadap AEON Credit atas pelanggaran sekatan kewangan bersasar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BNM kenakan penalti RM520,000 terhadap AEON Credit atas pelanggaran sekatan kewangan bersasar

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 24 Jun - Bank Negara Malaysia (BNM) mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran (AMP) sebanyak RM520,000 terhadap AEON Credit Service (M) Berhad selepas syarikat itu didapati gagal mematuhi keperluan berkaitan sekatan kewangan bersasar (targeted financial sanctions, TFS).

 

BNM dalam kenyataan hari ini berkata, tindakan penguatkuasaan itu dikenakan pada 6 April 2026 susulan dapatan hasil pemeriksaan penyeliaan di premis AEON Credit yang mengenal pasti beberapa ketidakpatuhan terhadap keperluan berkenaan.

 

"Sebagai institusi pelapor, AEON Credit dikehendaki menolak bakal pelanggan sekiranya terdapat padanan positif dengan individu atau entiti yang disenaraikan dalam Senarai Domestik serta Senarai Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSCR).

 

 

 

 

 

 

"Institusi kewangan juga diwajibkan untuk membekukan dana pelanggan selepas pengesahan identiti sebagai entiti yang disenaraikan, bagi memastikan sistem kewangan tidak disalahgunakan untuk aktiviti pembiayaan keganasan," kata kenyataan itu.

 

BNM berkata siasatan mendapati sebuah entiti yang tersenarai dalam Senarai Domestik telah diterima sebagai pelanggan oleh AEON Credit, selain kegagalan menolak padanan positif tersebut.

 

Selain itu, terdapat juga kelewatan dalam proses pembekuan akaun pelanggan selepas pengesahan status entiti berkenaan.

 

Menurut bank pusat itu, pelanggaran tersebut berpunca daripada kekurangan pengawasan kakitangan serta jurang dalam prosedur operasi standard (SOP) syarikat.

 

Langkah Pembetulan

AEON Credit sejak itu telah mengambil langkah pembetulan termasuk menambah baik SOP dan menjalankan latihan semula kepada kakitangan berkaitan bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan TFS.

 

Dalam menentukan jumlah penalti, BNM mempertimbangkan beberapa faktor termasuk tahap keseriusan pelanggaran, tahap kecuaian munasabah dalam pematuhan, rekod pematuhan terdahulu serta tindakan pembetulan selepas pelanggaran.

 

AEON Credit telah membayar jumlah penalti tersebut pada 16 April 2026.

 

BNM menegaskan semua institusi pelapor perlu mematuhi sepenuhnya keperluan TFS dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan penyeliaan atau penguatkuasaan terhadap mana-mana institusi yang gagal mematuhi keperluan undang-undang dan peraturan.

 

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, BNM pada 14 Mei 2026 turut mengenakan AMP sebanyak RM16,800 terhadap Jin Cheng Gong Sdn. Bhd. (JCG) kerana gagal mematuhi keperluan usaha wajar pelanggan (CDD).

 

Sebagai institusi pelapor, JCG dikehendaki melaksanakan CDD ke atas pelanggan serta pemilik benefisial.

 

 

 

 

 

 

 

Keperluan ini bertujuan membolehkan institusi pelapor menilai pendedahan mereka terhadap risiko pengubahan wang haram (ML) dan pembiayaan keganasan (TF), serta mengurangkan risiko institusi pelapor digunakan sebagai saluran bagi aktiviti ML/TF dan aktiviti jenayah serius lain.

 

JCG kemudiannya telah mengambil langkah pembetulan termasuk menjalankan latihan kakitangan dan pada 26 Mei 2026 membayar penalti RM16,800 yang dikenakan oleh BNM. - DagangNews.com