KUALA LUMPUR 24 Jun - Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) akan meningkatkan kecekapan operasi menerusi penerokaan teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT) dan sistem penyelenggaraan ramalan menerusi kerjasama dengan penyedia teknologi pendigitilan dan automasi global, Siemens.
Kerjasama strategik tersebut akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan inisiatif perintis berstruktur, program pembangunan keupayaan serta ujian integrasi teknologi operasi bagi meningkatkan prestasi pelabuhan.
Menurut PTP lagi, kerjasama itu juga merangkumi program latihan dan pembangunan kemahiran tenaga kerja bagi menyediakan kakitangan menghadapi persekitaran operasi hibrid yang menggabungkan automasi dan tenaga manusia.
"Selain itu, beberapa projek perintis akan dilaksanakan termasuk penjejakan aset pintar serta pengoptimuman tenaga bagi menilai kebolehskalaan dan pulangan pelaburan dalam persekitaran operasi sebenar.
"Inisiatif berkenaan turut bertujuan meningkatkan kebolehpercayaan peralatan melalui strategi pengurusan kitar hayat aset bersepadu serta penambahbaikan rangka kerja sokongan perkhidmatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bersempena kerjasama itu, PTP sebuah usaha sama antara MMC Ports dan APM Terminals dari Belanda telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Siemens.
Kekal Status Pelabuhan Bertaraf Dunia
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MMC Port Holdings Bhd, Datuk Azman Shah Mohd Yusof, berkata kerjasama itu merupakan antara tonggak penting dalam usaha PTP mengekalkan kedudukan sebagai pelabuhan bertaraf dunia.
“Dengan bekerjasama bersama Siemens, kami memastikan PTP kekal di barisan hadapan inovasi logistik, menawarkan kecekapan, kelajuan dan kebolehpercayaan yang diperlukan pelanggan dalam persekitaran perdagangan yang semakin kompleks,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman berkata kerjasama itu akan meningkatkan kecekapan dan daya tahan operasi terminal melalui penggunaan teknologi secara praktikal.
Sementara itu, Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif Siemens Malaysia, Tindaro Danze berkata Asia Tenggara menyaksikan pertumbuhan kukuh dalam perdagangan serta peningkatan kerumitan logistik, sekali gus memerlukan penyelesaian digital yang lebih maju.
“Kerjasama ini membolehkan kami melaksanakan penyelesaian digital secara praktikal yang menyokong kecekapan operasi, kebolehpercayaan dan transformasi tenaga kerja,” katanya. - DagangNews.com








