KUALA LUMPUR 12 Mac — KPJ Healthcare Berhad berjaya mengorak langkah melaksanakan prosedur pertama yang menggunakan teknologi pembedahan bantuan robotik di Hospital Pakar Johor pada 8 Mac 2025 dengan menawarkan ketepatan pembedahan yang lebih tinggi.
Ia turut melibatkan pergerakan robot yang lebih fleksibel dan visual tiga dimensi (3D) berdefinisi tinggi, untuk membolehkan potongan lebih kecil, mengurangkan trauma tisu dan pemulihan selepas pembedahan lebih baik berbanding pembedahan konvensional.
Prosedur itu yang menggunakan sistem pembedahan dikenali sebagai Da Vinci Xi telah dikendalikan oleh Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr Sharifah Shahirah Syed Hashim, serta turut menandakan era baharu dalam pembedahan invasif minimum di Hospital Pakar Johor sendiri.
"Pencapaian ini membolehkan pesakit itu hanya menginap di hospital dengan lebih singkat, mengurangkan sakit dan merendahkan risiko pembedahan malah merupakan kali pertama dalam rangkaian hospital KPJ Healthcare di Johor," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Kejayaan pembedahan itu juga membuktikan komitmen KPJ Healthcare dalam mengintegrasikan teknologi pembedahan canggih bagi meningkatkan hasil dan pengalaman pesakit serta turut memajukan penjagaan berpusatkan pesakit dan pembedahan berketepatan tinggi.

Tahun lepas, Hospital Pakar Damansara 2 menjadi pertama dalam rangkaian KPJ Healthcare memperkenalkan Da Vinci Xi dan sejak itu, KPJ Healthcare telah mengembangkan penggunaan teknologi berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) di kesemua 29 hospital swasta mereka.
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan, berkata, ia juga selaras dengan matlamat 'Care for Life', dan pihaknya sentiasa meneroka pelbagai kemajuan dalam bidang AI serta inovasi untuk meningkatkan tahap kualiti penjagaan pesakit.
"Selain itu, pengenalan ‘KPJ Health System’ yang kini menjadi rangka utama kami telah menetapkan penanda aras baharu dalam penjagaan kesihatan swasta. Matlamat utama kami adalah untuk memastikan pesakit mendapat manfaat daripada kemajuan ini," katanya.
Beliau dalam kenyataan tersebut turut menyatakan perasaan bangga dengan pencapaian itu yang juga merupakan satu langkah penting di Johor dalam memperkenalkan pembedahan robotik kerana teknologi ini membolehkan prosedur yang rumit dilakukan dengan lebih tepat.
Ia turut menawarkan pesakit kepada pilihan rawatan kurang invasif untuk penyembuhan yang lebih baik malah teknik bantuan robotik ini banyak digunakan dalam pembedahan ginekologi, urologi, dan pembedahan am yang membenarkan pengawalan dan ketepatan yang tinggi.
Ia terutamanya untuk prosedur sukar kerana peralatan robotik yang canggih itu mampu meniru pergerakan tangan dengan kestabilan yang lebih tinggi, sekali gus menyokong pendekatan pembedahan yang lebih halus untuk menambah baik keselamatan dan pemulihan pesakit. - DagangNews.com








