KUALA LUMPUR 13 Jun — KPJ Healthcare Berhad mempelawa orang ramai untuk menyaksikan inovasi perubahan landskap penjagaan kesihatan masa depan menerusi AiNNOVATION 2025 di 1 Utama Shopping Centre, Petaling Jaya, Selangor.
Kumpulan tersebut berkata, pameran secara interaktif itu diadakan di aras bawah, Centre Court Old Wing dalam kompleks beli-belah berkenaan dan berlangsung selama empat hari yang telah bermula semalam sehingga 15 Jun 2025.
Bertemakan Memacu Inovasi dan Keterangkuman Melalui AI, acara ini mengetengahkan secara langsung usaha KPJ Healthcare ke arah memperkasa pengalaman pesakit menerusi teknologi pintar, sistem digital dan pendekatan masa depan.


"Antara tarikan utama ialah pameran interaktif Patient Journey yang menampilkan transformasi penjagaan kesihatan dari sesi rundingan awal hingga ke penjagaan susulan, teknologi diagnostik berasaskan AI," katanya dalam kenyataan.
Pengunjung turut berpeluang menyaksikan bentuk rekod kesihatan digital, dan pemulihan robotik, selain mengikuti pemeriksaan kesihatan dan ceramah kesihatan secara percuma oleh pakar-pakar KPJ serta cabaran robotik untuk kanak-kanak.
Sesi kecergasan dan kesihatan seperti Zumba, Body Combat, Line Dance dan PoundFit di samping demonstrasi memasak dan permainan berkaitan dengan kesihatan serta penampilan istimewa oleh pempengaruh media sosial juga disediakan.


Pelbagai tawaran menarik dan hadiah eksklusif rakan kerjasama diadakan yang meliputi rangkaian hospital KPJ, Universiti KPJ Healthcare, Pusat Penyelidikan dan Inovasi KPJ serta Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends 2025.
Kenyataan tersebut menambah, AiNNOVATION 2025 turut dibuka kepada orang ramai dengan kemasukan adalah percuma serta akan berlangsung dari pukul 10 pagi sehingga 10.30 malam setiap hari. - DagangNews.com








