KUALA LUMPUR 26 Ogos – KPJ Healthcare Berhad mengorak langkah besar dalam transformasi digital sistem penjagaannya apabila menjalin kerjasama strategik dengan Philips Healthcare dan LAC Medical Supplies Sdn Bhd.
Ketiga-tiga pihak tersebut berganding tenaga untuk melaksanakan sistem baharu dikenali Enterprise Picture Archiving and Communication System (PACS) melibatkan rangkaian 30 hospital KPJ Healthcare di seluruh negara.
Pelaksanaan sistem pengimejan perubatan secara bersepadu ini dijangka mengambil masa selama 24 bulan, dan merupakan sebahagian daripada inisiatif digital di bawah KPJ Health System.
"Perubahan ini bakal memberi penekanan kepada model penjagaan kesihatan lebih berhubung, berpusatkan pesakit serta berpaksikan hasil klinikal dan operasi boleh diukur," kata KPJ Healthcare dalam satu kenyataan.
Sistem PACS baharu yang dibekalkan oleh Philips dan dilaksanakan oleh LAC Medical Supplies, akan menyatukan rangkaian hospital KPJ dalam satu platform pengimejan dengan berskala besar.
Usaha bersepadu itu katanya, sekali gus mempertingkatkan akses yang lebih selamat kepada data perubatan, serta membolehkan kolaborasi secara masa nyata antara doktor.
PACS tambahnya, turut diintegrasikan dengan aplikasi KPJ Cares, bagi membolehkan pesakit dapat mengakses keputusan pengimejan mereka dengan lebih mudah dan terjamin.

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan, menyifatkan projek ini sebagai 'peristiwa penting' dalam perjalanan transformasi KPJ.
“Dengan menghubungkan pengimejan di semua 30 hospital, pelaburan ini meningkatkan akses pesakit dan menyokong kecekapan dalam pelaburan teknologi serta pengalaman penjagaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Projek ini menggunakan pendekatan berasaskan langganan yang menyokong penggunaan teknologi secara mampan sambil mengoptimumkan prestasi operasi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LAC Medical Supplies, Liew Yoon Poh berkata, pendekatan ini akan menyampaikan nilai ketara dari segi kecekapan klinikal dan pengalaman pesakit.
Ketua Pegawai Inovasi dan Ketua Pemimpin Perniagaan Philips, Dr Shez Partovi menyatakan bahawa PACS generasi terkini ini menyokong diagnostik berasaskan AI dan memperkemas aliran kerja radiologi.
“Platform kami dibina untuk kelajuan, keselamatan dan kebolehskalaan, membolehkan doktor membuat keputusan yang yakin dan meningkatkan hasil pesakit,” katanya.
Menerusi ciri keselamatan siber dan pematuhan ketat, sistem PACS bukan sahaja menyimpan dan mengakses imej perubatan, malah menyokong visual lanjutan dan integrasi sistem hospital secara menyeluruh.
Usaha tersebut sejajar dengan aspirasi KPJ Health System yang menggabungkan penjagaan klinikal, pendidikan dan penyelidikan ke arah hasil kesihatan yang lebih baik.
Perkongsian strategik ini membuktikan komitmen KPJ Healthcare untuk terus menerajui **inovasi digital dalam sektor penjagaan kesihatan swasta di Malaysia**, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan yang selamat, cekap dan berdaya saing. - DagangNews.com








