KPJ Healthcare diunjur raih hasil kukuh didorong banyak asas positif pada 2HFY25 - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KPJ Healthcare diunjur raih hasil kukuh didorong banyak asas positif pada 2HFY25 - Maybank IB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 Jun — KPJ Healthcare Berhad diunjur dapat meraih pertambahan hasil yang lebih kukuh pada tempoh baki enam bulan terakhir tahun ini dengan didorong banyak asas positif, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).


Firma penyelidikan tersebut berkata, kelemahan tang direkodkan pada suku pertama 2025 adalah bermusim dan memang sudah dijangka sehingga menyebabkan berlaku kemerosotan kecil kira-kira lapan peratus dalam nilai harga sahamnya.


Sebaliknya, ia percaya peningkatan aktiviti penjualan saham kumpulan itu baru-baru ini hanya bersifat sementara waktu, dan dijangka kembali menyaksikan tahap pembelian yang baik selepas berakhir tempoh separuh pertama 2025.


"Kami masih lagi menjangka pendapatan KPJ Healthcare lebih kukuh pada 2HFY25, dan turut menilai prospek sebagai sektor positif dengan potensi hasil yang tidak dihadkan hampir pertengahan 2025," kata Maybank IB dalam kajiannya.


Unjuran itu katanya, berdasarkan perancangan kerajaan melaksanakan kaedah pembayaran Kumpulan Berkaitan Diagnostik (DRG) di semua hospital swasta dalam usaha menangani isu peningkatan inflasi kos perubatan dan rawatan awam.


Semasa taklimat bersama-sama penganalisis baru-baru ini, pihak pengurusan kumpulan itu turut mengesahkan ia kekal dalam semua panel insurans utama, dan mahu mengurangkan kebimbangan pelanggannya mengenai masalah pengurangan tuntutan. 


Kekhuatiran tersebut timbul berikutan langkah kerajaan mengehadkan sebanyak 10 peratus untuk kenaikan premium insurans perubatan untuk membantu masyarakat terutama golongan yang berpendapatan rendah dilindungi insurans.


"Kami turut melihat potensi peningkatan dalam sektor pelancongan perubatan apabila KPJ Healthcare merekodkan hasil pada 1QFY25 sebanyak RM56 juta dan menyumbang kira-kira 6 peratus daripada jumlah hasil," tambah Maybank IB.


Perkembangan positif berkenaan kata firma itu, merupakan peningkatan sebanyak 11 peratus bagi tahun ke tahun (YoY) dan menunjukkan kumpulan tersebut masih berdaya tahan ketika sektor penjagaan kesihatan perlu kekal bertahan.


Ia turut merujuk kepada analisis teknikal yang sebenarnya memaparkan pergerakan aliran menaik dagangan saham kumpulan itu secara lebih luas dan kukuh dengan disokong oleh tahap teknikal utama pada carta harian dan mingguan.


Berdasarkan penilaian adil pada unjuran perolehan pada FY26, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan saranan "beli" ke atas KPJ Healthcare dengan harga sasaran yang juga tidak berubah sebanyak RM3.24 sesaham. - DagangNews.com