KPJ Healthcare anugerahkan 2 kontrak bernilai RM32 juta kepada JLGBP | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KPJ Healthcare anugerahkan 2 kontrak bernilai RM32 juta kepada JLGBP

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 18 Jun — KPJ Healthcare Berhad melalui anak syarikatnya, Rawang Specialist Hospital Sdn Bhd (RSH) menganugerahkan dua kontrak bernilai RM31.97 juta kepada JLG & BP Design Sdn Bhd (JLGBP).


Ia melibatkan pengubahsuaian wad utama di Hospital Pakar Damansara 2 (DSH2) sebanyak RM21.47 juta manakala baki RM10.50 juta untuk kerja menaik taraf dan fasad Hospital Pakar Damansara (DSH).

 

Kerja-kerja berkenaan tambah kumpulan tersebut, turut meliputi bilik bujang premium serta dijangka meningkatkan lagi imej hospital, menambah baik pengalaman pesakit selain memperkemaskan operasi.


"Projek ini merupakan sebahagian inisiatif Perancangan Strategik 2025 dan menyasarkan bagi memenuhi permintaan pesakit semakin meningkat," kata KPJ Healthcare dalam makluman kepada Bursa Malaysia.


Pengubahsuaian DSH2 kata KPJ Healthcare, disasarkan mampu disiapkan oleh pihak JLGBP menjelang akhir tahun ini, manakala kerja-kerja di DSH dijangka dapat diselesaikan menjelang suku kedua 2026.


Kumpulan itu menegaskan penyiapan projek tepat pada masanya adalah penting, kerana kelewatan boleh mengakibatkan gangguan operasi, risiko keselamatan dan alam sekitar serta potensi kehilangan hasil.


"Bagaimanapun, pengurusan RSH akan mengambil semua langkah yang munasabah untuk memastikan kerja-kerja ditetapkan siap dalam tempoh masa dipersetujui," kata kenyataan KPJ Healthcare itu.

 

JLGBP dikaitkan dengan pemegang saham utamanya ialah Johor Corporation (JCorp) kerana 60 peratus ekuiti dimiliki Damansara Assets Sdn Bhd, yang merupakan anak syarikat tidak langsung JCorp sendiri. 


Sementara JCorp pula merupakan bahagian pelaburan kerajaan Johor yang ia memegang 35.86 peratus kepentingan secara langsung dan 9.13 peratus tidak langsung dalam KPJ Healthcare. - DagangNews.com