KUALA LUMPUR 11 Mei — Kenaikan kos tenaga dan bahan mentah berikutan konflik di rantau Timur Tengah dijangka terus memberi tekanan kepada industri sarung tangan getah, termasuk pengeluar tempatan.
Menurut Public Investment Bank (PublicInvest), situasi semasa itu berisiko mengakibatkan Kossan Rubber Industries Berhad kehilangan kelebihan kos berbanding pesaing dari China menjelang akhir tahun ini.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berpandangan kumpulan tersebut masih dalam kedudukan stabil untuk mengharungi cabaran industri menerusi kawalan kos yang disiplin, dan kedudukan tunai kukuh.
"Purata harga jualan (ASP) sarung tangan generik kini sudah naik bagi setiap 1,000 keping, didorong ketidaktentuan harga bahan mentah akibat konflik di Timur Tengah," katanya dalam nota analisis.
Justeru ujar PublicInvest, situasi itu diramal menyokong prestasi pendapatan Kossan bagi suku kedua tahun kewangan 2026, namun tidak menjangka kenaikan ASP mampu menjadi kitaran kenaikan struktur.
Keadaan tersebut jelasnya, memandangkan kapasiti bekalan sarung tangan global semasa didapati sudah melebihi 500 bilion keping, jauh mengatasi permintaan yang kurang daripada 400 bilion keping.
Pada masa sama firma penyelidikan tersebut berkata, mekanisme harga gas di Malaysia yang mempunyai kelewatan enam bulan, dijangka menyebabkan impak kos yang lebih ketara bermula pada Oktober 2026.
"Situasi kali ini sekali gus meningkatkan lagi jurang kos operasi Kossan berbanding China selama ini menggunakan tenaga berasaskan arang batu dengan harga jauh lebih murah," tambah PublicInvest.

Menurut pengurusan kumpulan itu, kos tenaga tambahan menyebabkan pengeluar Malaysia menanggung kelemahan sekitar AS$1 (RM3.92) bagi 1,000 keping sarung tangan berbanding pesaing dari China.
Sehubungan itu, syarikat tersebut focus terhadap kecekapan operasi berbanding perluasan kapasiti, termasuk pelaksanaan automasi dalam proses pembungkusan yang dijangka mengurangkan 140 pekerja.
Pada ketika ini jelas PublicInvest, kadar penggunaan kapasiti Kossan didapati sudah berada pada sekitar 65% daripada kapasiti tahunan sebanyak 24.5 bilion keeping, dan jumlah itu boleh ditambah.
"Selain itu, segmen sarung tangan bilik bersih dijangka menjadi pemacu pertumbuhan margin syarikat selepas kemudahan baharu segmen berkenaan mula beroperasi menjelang September 2026," ujarnya.
Firma tersebut menambah, segmen itu kini menyumbang sekitar 6% kepada hasil kumpulan dengan margin keuntungan sebelum cukai (PBT) lebih tinggi sekitar 13% berbanding 10% bagi sarung tangan generik.
Sehubungan itu, PublicInvest menjangkakan sumbangan segmen tersebut meningkat kepada 10% daripada hasil FY26, selain membantu Kossan bagi mengurangkan tekanan persaingan daripada pengeluar China.
PublicInvest mengekalkan saranan 'outperform' terhadap Kossan tetapi menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM1.36 daripada RM1.50, berdasarkan gandaan 0.88 kali harga kepada buku (P/B) pada 2027.
"Kami turut menyifatkan kedudukan tunai bersih kumpulan ini sebanyak RM1.6 bilion sebagai antara kekuatan utama terus bertahan dalam tempoh kelemahan industri," katanya. - DagangNews.com








