Kos penghantaran kapal MISC dikhuatiri terjejas disebabkan pelaksanaan cukai karbon - AmInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kos penghantaran kapal MISC dikhuatiri terjejas disebabkan pelaksanaan cukai karbon - AmInvest

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 Jun — Kos penghantaran melibatkan armada MISC Berhad dikhuatiri terjejas disebabkan pelaksanaan yuran pelepasan karbon atau dirujuk sebagai cukai karbon yang akan bermula pada 2028, menurut AmInvestment Bank Research (AmInvest).


Firma penyelidikan tersebut berkata, sistem percukaian baharu itu dipersetujui majoriti besar ahli Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) pada April 2025 yang mengundi untuk Rangka Kerja Sifar Bersih IMO dan akan diterima pakai secara rasmi pada Oktober 2025.


Bagaimanapun katanya, cukai berkenaan hanya akan dilaksanakan pada 2027 sebelum proses pembayaran dimulakan setahun kemudian ke atas kapal-kapal besar lebih daripada 5,000 tan yang didapati masih ingkar lagi sengaja melepaskan pencemaran udara.


"Kami berpendapat pengenaan yuran karbon, yang sebenarnya menyerupai dengan cukai, akan meningkatkan kos penghantaran dan menjejaskan sebahagian besar sektor perkapalan global termasuk MISC sendiri pada 2027," kata AmInvest dalam nota kajiannya.


Menurut laporan IMO, kebanyakan syarikat perkapalan gergasi antarabangsa masih menggunakan enjin diesel, selain memiliki saiz kapal yang lebih besar daripada 5,000 tan, antaranya termasuk AP Moller-Maersk, COSCO Shipping dan Mediterranean Shipping Company.


Di bawah perjanjian rangka kerja itu katanya, kapal yang mengeluarkan karbon melebihi paras ditetapkan perlu membayar yuran sebanyak AS$100 (kira-kira RM423) setiap tan dan akan meningkat kepada paras maksimum AS$380 (kira-kira RM1,609) per tan.


Untuk mengelak daripada dikenakan bayaran itu tambah AmInvest, kapal tersebut boleh bertukar kepada bahan api mesra alam seperti biofuel atau ammonia, atau membeli kapal baharu bebas pencemaran udara selain menyumbang kepada Dana Sifar Bersih IMO.


"Perkapalan akan menjadi industri pertama ada cukai karbon global kerana menurut IMO, sektor tersebut menjana tiga peratus pelepasan gas rumah hijau dunia dan rangka kerja itu bertujuan bagi mengurangkan kepada sifar pelepasan menjelang 2050," katanya.


Yuran dibayar oleh kapal yang mengeluarkan karbon melebihi paras ditetapkan itu akan disalur kepada Dana Sifar Bersih bagi menyokong prasarana dan inisiatif peralihan tenaga di negara-negara membangun serta mengurangkan kesan negatif di negara kurang maju.


Amerika Syarikat menarik diri daripada rundingan IMO di separuh jalan manakala negara yang mengundi menyokong antaranya blok Kesatuan Eropah, China dan India, sementara mengundi menentang pula termasuk Malaysia, Rusia, Arab Saudi dan Thailand.


"Berdasarkan perkembangan itu, kami memberikan saranan 'beli' ke atas saham MISC dengan harga sasaran adalah RM8.50," kata AmInvest. MISC pada ketika ini mempunyai 114 kapal dengan paling banyak ialah 66 daripada jenis tangki petroleum. - DagangNews.com