KUALA LUMPUR 4 Mei – Persatuan Pengusaha Pelancongan Pulau Perhentian (5P) memohon Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk meluluskan penggunaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) bagi kegunaan generator di pulau tersebut.
Permohonan tersebut dibuat susulan kenaikan mendadak kos bahan api yang membebankan pengusaha pelancongan di pulau peranginan terkenal Terengganu itu.
Persatuan tersebut mendedahkan kos operasi pengusaha di Pulau Perhentian meningkat antara 50% hingga 70% dalam beberapa bulan kebelakangan ini yang memberi kesan kepada kelangsungan perniagaan sektor pelancongan tempatan.
Menurut persatuan itu, situasi berkenaan berlaku kerana Pulau Perhentian masih tidak mempunyai bekalan elektrik dari grid nasional, menyebabkan semua operasi termasuk hotel, resort dan restoran bergantung kepada generator sebagai sumber tenaga utama.
Sehubungan itu, 5P telah memohon pertimbangan KPDN agar membenarkan penggunaan SKDS dan SKPS untuk kegunaan generator di pulau berkenaan.
Pengerusi 5P, Rafizah Munir berkata, bahan api merupakan keperluan asas bagi pengusaha di pulau tersebut dan bukannya sekadar kos operasi biasa kerana ia digunakan untuk memastikan bekalan elektrik terus berfungsi sepanjang masa.
Beliau berkata, kenaikan harga bahan api yang berterusan memberi tekanan besar kepada pengusaha dan jika keadaan ini tidak ditangani, ia mungkin memaksa sebahagian operator menaikkan harga perkhidmatan atau mengurangkan skala operasi.
Katanya lagi, situasi itu boleh menjejaskan daya saing Pulau Perhentian sebagai salah satu destinasi pelancongan utama negara, terutama ketika Malaysia sedang giat mempromosikan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
“Industri pelancongan di Pulau Perhentian bukan sahaja menyokong pengusaha besar seperti hotel dan resort, tetapi turut melibatkan ratusan pekerja tempatan termasuk pengusaha bot, pekerja hotel dan peniaga kecil.
“Sebarang peningkatan kos yang tidak terkawal akan memberi kesan rantaian kepada keseluruhan ekosistem ekonomi di Pulau Perhentian,” katanya dalam satu kenyataan.


5P turut mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pendekatan dasar yang lebih bersasar bagi kawasan pulau dan luar grid yang mempunyai kekangan infrastruktur tersendiri.
Persatuan itu berpandangan mekanisme subsidi sedia ada perlu disemak semula supaya lebih relevan dengan keadaan operasi sebenar di kawasan seperti Pulau Perhentian.
Dalam masa sama, 5P menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan pihak kementerian bagi membangunkan pelaksanaan yang lebih telus dan berkesan sekiranya skim bantuan khas diperkenalkan.
Sementara itu, Sabri Hamdan yang mengusahakan Crocodile Rock Villas berkata, pengusaha di pulau itu masih sangat memerlukan sokongan subsidi sehingga bekalan elektrik nasional dapat disalurkan ke kawasan berkenaan.
5P berharap agar isu berkenaan dapat diberi perhatian segera oleh kerajaan, khususnya dalam memastikan kelestarian industri pelancongan pulau serta kesejahteraan komuniti setempat.
Persatuan itu menegaskan bahawa sokongan terhadap destinasi seperti Pulau Perhentian bukan sahaja penting untuk industri pelancongan, tetapi juga untuk memastikan kelangsungan ekonomi masyarakat yang bergantung sepenuhnya kepada sektor tersebut. - DagangNews.com








