Kos operasi lebih tinggi, hasil YTL Hospitality REIT berisiko terjejas - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kos operasi lebih tinggi, hasil YTL Hospitality REIT berisiko terjejas - Maybank IB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 7 Ogos — Pendapatan YTL Hospitality Real Estate Investment Trust (REIT) dikhuatiri terjejas jika gagal menangani peningkatan kos operasi, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, ia antara kelemahan besar kumpulan amanah pelaburan hartanah itu selain dibimbangi boleh menurunkan unjuran harga sasaran (TP) dan penilaian prospek sahamnya.

 

Tambahnya, ia turut mengesan risiko disebabkan perubahan kadar sewa, penghunian, faedah dan mata wang asing (forex) boleh membawa kepada pendapatan rendah untuk YTL Hospitality REIT sendiri.

 

"Kami diberitahu kira-kira 47 peratus daripada pendapatan hartanah bersih (NPI) diperoleh dari luar negara, dan turun naik forex memberi kesan kepada hasil kumpulan ini," kata Maybank IB dalam notanya.

 

Selain itu, ia difahamkan 30 peratus NPI kumpulan ini di bawah pajakan induk perlu dibayar untuk pembaharuan paling awal pada FY26 dan 96 peratus jumlah hutangnya berdasarkan kadar terapung.

 

Bagaimanapun, firma itu menaikkan ramalan perolehan FY26, FY27 dan FY28 masing-masing 1%, 3% dan 3% untuk mencerminkan sumbangan sewa sebuah hotel di Puchong yang dijangka siap pada April 2026.

 

Peningkatan kecil tersebut tambah Maybank IB, mengambil kira potensi Hotel Moxy Niseko di Jepun yang dijangka beroperasi pada tempoh separuh kedua 2027 serta beberapa faktor sampingan lain.

 

"Antaranya, kami menjangkakan pengembalian sewa yang stabil meningkat 5 peratus setiap 5 tahun untuk pajakan induk yang perlu diperbaharui pada 2026, dan menyumbang 30 peratus daripada NPI," katanya.

 

Sebagai usaha jangka pendek tambahnya, YTL Hospitality REIT bersetuju pelarasan variasi sewaan dengan pemajak termasuk mengurangkan sewa meliputi 11 aset pajakan induknya sebanyak 50 peratus.

 

Maybank IB berkata, langkah itu telah dilaksanakan selama 24 bulan berjumlah RM156 juta, dan sewa dibayar semula secara berperingkat dalam tempoh tujuh tahun, iaitu baki tempoh aset masing-masing.

 

Sehubungan itu, firma berkenaan terus menggemari saham kumpulan REIT ini kerana saluran hasil boleh dilihat, unjuran pendapatan pajakan induk yang stabil dan prospek pertumbuhannya di Australia.

 

"Berdasarkan kepada potensi perkembangan itu, kami mengekalkan penarafan 'beli' ke atas YTL Hospitality REIT dan menaikkan TP sesaham kepada RM1.35 daripada RM1.30," katanya. - DagangNews.com