Kos operasi lebih rendah, Kenanga unjur prestasi Velesto lebih baik pada FY25, FY26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kos operasi lebih rendah, Kenanga unjur prestasi Velesto lebih baik pada FY25, FY26

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Okt - Prestasi Velesto Energy diunjur bertambah baik pada FY25 dan FY26 disokong kos operasi (opex) lebih rendah, menurut Kenanga Research. 

 

Firma penyelidikan itu menaikkan unjuran pendapatannya sebanyak 16% hingga 18% bagi kedua-dua tahun kewangan tersebut, selepas mengambil kira langkah penjimatan kos yang mampan.

 

Katanya, kecekapan kos yang berterusan dan penjanaan aliran tunai yang kukuh boleh membolehkan syarikat itu membayar dividen melebihi 100% daripada keuntungannya.

 

Ia menaikkan harga sasaran saham Velesto kepada 25 sen daripada 18 sen sebelum ini, berdasarkan nisbah harga terhadap nilai buku yang lebih tinggi iaitu 0.7 kali berbanding 0.5 kali sebelumnya, sambil mengekalkan saranan "market perform".

 

Kenanga Research berkata, opex Velesto dijangka kekal stabil selepas langkah rasionalisasi dilaksanakan pada akhir FY24, berbeza dengan jangkaan awal yang menjangka kos kembali meningkat.

 

“Opex Velesto kini lebih rendah daripada yang kami jangkakan sebelum ini, dengan kos pengeluaran 54% lebih rendah pada FY25 dan tiada tanda-tanda peningkatan semula.

 

“Selain itu, kos buruh turut dirasionalisasi pada akhir FY24, menurun sebanyak 10% tahun ke tahun, dan syarikat tidak menunjukkan sebarang niat untuk menaikkan kos buruh dalam masa terdekat," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu menambah Velesto tidak bercadang meningkatkan perbelanjaan modal (capex) dalam masa terdekat, dengan tiada projek besar dirancang untuk FY25 dan FY26 selain daripada penyelenggaraan berkala khas yang masih berbaki.

 

“Bagi FY26, kami menjangka capex sebanyak RM90 juta bagi penyelenggaraan aset, tanpa sebarang program tinjauan berkala khas tambahan.

 

"Oleh itu, kumpulan ini mempunyai sehingga RM280 juta tunai yang boleh diagihkan sebagai dividen selepas cukai kepada pemegang saham sambil mengekalkan kedudukan tunai bersih RM81.9 juta pada FY26," katanya.

 

Kenanga Research berkata, kedudukan kewangan Velesto yang kukuh dan aliran tunai yang semakin baik menjadi pemangkin utama kepada dasar pembayaran dividen yang lebih tinggi.

 

Syarikat itu dijangka membayar dividen sebanyak tiga sen sesaham pada FY26, memberikan hasil dividen sekitar 12%.- DagangNews.com